Auto Added by WPeMatico

BRUSSELS – Kesatuan Eropah (EU) mengumumkan cadangan untuk mengehadkan hubungan perdagangan dan mengenakan sekatan terhadap menteri-menteri Israel.
Ia merupakan tindakan paling tegas setakat ini berhubung perang di Gaza meskipun penentangan daripada beberapa negara anggota utama berisiko menggagalkan pelaksanaan langkah tersebut.
Bagaimanapun, Suruhanjaya Eropah mengumumkan bahawa ia akan mengambil tindakan segera secara sendiri dengan membekukan kira-kira €20 juta (RM99 juta) dalam bentuk sokongan dua hala kepada Israel.
Langkah itu dibuat ketika tekanan semakin meningkat terhadap blok 27 negara tersebut untuk mengambil tindakan terhadap Israel berikutan serangan hampir dua tahun yang memusnahkan Gaza.
“Peristiwa mengerikan yang berlaku setiap hari di Gaza mesti dihentikan,” kata Ketua Suruhanjaya EU, Ursula von der Leyen.
“Gencatan senjata segera diperlukan selain akses tanpa sekatan untuk semua bantuan kemanusiaan dan pembebasan semua tebusan yang ditahan oleh Hamas,” tambahnya.
Berdasarkan cadangan baharu itu, Brussels menekan untuk menggantung sebahagian perjanjian kerjasama dengan Israel yang membolehkan tarif rendah dilaksanakan ke atas barangan dari negara haram tersebut.
Pegawai berkata, langkah itu akan menjejaskan lebih satu pertiga eksport Israel ke EU bernilai sekitar €6 bilion (RM30 bilion) termasuk hasil pertanian utama seperti kurma dan kacang.
Suruhanjaya itu juga mencadangkan pembekuan aset dan larangan visa terhadap menteri kerajaan sayap kanan Israel, Itamar Ben Gvir dan Bezalel Smotrich, yang mana retorik ekstremis mereka didakwa menyemarakkan keganasan.
Langkah-langkah itu yang pertama kali dikemukakan von der Leyen dalam ucapan penting minggu lalu, mewakili cubaan paling tegas EU untuk memberi tekanan terhadap Israel. – AFP
The post EU cadang hadkan perdagangan dengan Israel appeared first on Kosmo Digital.