Auto Added by WPeMatico

![]()
NILAI – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa susulan rampasan 638 kilogram dadah jenis bunga ganja bernilai RM62.5 juta dalam satu serbuan di Seri Kembangan, Selangor pada 2 Disember lalu.
Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/Pematuhan) Ibu Pejabat JKDM, Siti Mang, berkata serbuan dilakukan oleh sepasukan anggota Cawangan Narkotik, Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat sekitar pukul 3.50 petang di sebuah rumah teres dua tingkat yang dipercayai dijadikan lokasi pembungkusan dadah.
Menurutnya, hasil risikan hampir dua minggu membawa kepada penemuan 17 kotak parcel yang sedia untuk penghantaran serta sejumlah bungkusan aluminium foil mengandungi leraian tumbuhan berwarna hijau yang disyaki bunga ganja.
“Anggaran berat kasar bunga ganja yang dirampas adalah 638 kilogram dengan nilai RM62,519,100. Dadah jenis bunga ganja ini mempunyai nilai pasaran lebih tinggi berbanding ganja mampat,” katanya pada sidang media di Cawangan Narkotik, Ibu Pejabat JKDM Kampung Jijan, di sini, hari ini.
Beliau berkata, sebuah motosikal yang berada di perkarangan rumah sewa itu juga turut disita, namun tiada tangkapan dibuat berikutan premis berkenaan kosong ketika serbuan dijalankan. – KOSMO! ONLINE
The post Kastam jumpa ganja 638kg dalam rumah kosong appeared first on Kosmo Digital.