Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Global Sumud Flotila (GSF) mengesahkan salah sebuah bot utama yang dikenali sebagai ‘Family Boat’ yang membawa ahli Jawatankuasa Pemandu telah diserang oleh sebuah dron di perairan Tunisia.
GSF dalam kenyataannya berkata, bot tersebut berlayar di bawah bendera Portugal dan kesemua enam penumpang serta kru berada dalam keadaan selamat.
“Kebakaran telah menyebabkan kerosakan pada dek utama dan ruang simpanan di bawah dek. Siasatan sedang dijalankan dan sebaik sahaja maklumat lanjut diperoleh, ia akan diumumkan segera,” katanya.
GSF menambah, tindakan agresif tersebut yang bertujuan menakut-nakutkan dan menggagalkan misi tu tidak akan melemahkan semangat para sukarelawan.
“Misi aman kami untuk memecahkan kepungan di Gaza dan berdiri teguh bersama rakyatnya akan diteruskan dengan tekad dan iltizam,” ujarnya.
Terdahulu, pendakwah, Rahmat Ikhsan Sofyan atau lebih dikenali PU Rahmat memuat naik hantaran di Facebooknya memaklumkan mengenai serangan itu.
Menerusi video di muat naik di Instagram Sumud Nusantara, kejadian itu disaksikan oleh salah seorang penumpang di bot lain ketika dia baru mahu masuk tidur.
Kelihatan letupan berlaku di hujung bot sebelum kebakaran marak sehingga mencemaskan peserta yang lain.
Misi kemanusian GSF memulakan pelayaran dari pelabuhan Barcelona, pada 31 Ogos dengan usaha untuk memecahkan kepungan haram di Gaza.
Kebanyakan kapal peserta sudah tiba di Tunisia sejak kelmarin sebelum pelayaran ke Gaza mula disambung sejak malam tadi (waktu tempatan).
Seramai 15 peserta daripada Malaysia telah menyertai misi bersejarah ini, pelayar yang tidak membawa senjata tapi hanya membawa bekalan bantuan untuk penduduk Gaza.- KOSMO! ONLINE
The post Serangan ini tidak akan melemahkan kami – Global Sumud Flotila appeared first on Kosmo Digital.