Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Serangan dron yang menyasarkan Global Sumud Flotilla (GSF), sebuah konvoi kapal awam yang dalam misi kemanusiaan menghantar bantuan ke Gaza, dikecam pemerhati.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, serangan tanpa provokasi itu bukan sahaja melanggar undang-undang antarabangsa, malah mengancam nyawa orang awam yang tidak bersenjata.
“Serangan ini jelas merupakan jenayah perang dan penghinaan terhadap prinsip hak asasi manusia serta Konvensyen Geneva. Ia perlu disiasat segera dan dicegah daripada berulang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tindakan menyerang bot awam menzahirkan keperluan mendesak untuk campur tangan antarabangsa bagi memastikan keselamatan konvoi kemanusiaan.
Sehubungan itu, Mapim menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, badan hak asasi manusia dan kerajaan-kerajaan bertanggungjawab di seluruh dunia untuk menjamin perlindungan semua konvoi bantuan ke Gaza.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan rombongan aktivis Mapim mendakwa sudah mengenal pasti dalang di sebalik serangan dron ke atas kapal GSF di perairan Tunisia, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.55 malam (waktu tempatan), kapal utama yang dikenali sebagai Madeira Family dilaporkan terkena serangan objek berapi sehingga menyebabkan kerosakan. – KOSMO! ONLINE
The post Flotila: Serangan dron konvoi kapal awam jenayah perang – Mapim appeared first on Kosmo Digital.