Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – “Saya tiada benda nak cakap. Saya ‘masscom student’ (pelajar Komunikasi Massa).”
Demikian respons pelakon Fikry Ibrahim selepas diasak pertanyaan mengenai kenyataan yang dibuat dalam siaran langsung Melodi yang bercanggah dengan peguam mewakili isteri, Siti Khalizah Alihan di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pagi tadi.
Kenyataan tersebut adalah berkenaan kehadiran isterinya hadir ke mahkamah bagi menarik balik kes perceraian.
Pemilik nama lengkap Ahmad Fikry Ahmad Ibrahim, 31, terus bergegas keluar meninggalkan studio sebaik sahaja habis mengendalikan program tersebut hari ini.
Dia juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada pengamal media selain menegaskan segala persoalan sudah dijelaskan dalam program tersebut.
“Terima kasih sangat-sangat sebab datang cuma saya dah beritahu semua dalam Melodi tadi,” jawabnya ringkas.
Ditanya mengenai kenyataan yang dikeluarkan didakwa mempermainkan isu perceraian, Fikry enggan mengulas lanjut selain memanjatkan rasa syukur.
“Alhamdulillah,” ujarnya pendek.
Semasa pengacara Melodi itu bergegas ke kenderaan miliknya, dia sempat memaklumkan isu rumah tangganya yang menjadi bualan hangat hari ini bukan gimik semata-mata.
Dia turut memaklumkan isterinya berada dalam kereta mewah berjenama Alphard namun kelibat wanita itu tidak kelihatan.
“Ya (datang dengan isteri). Tak mungkin gimik,” ujarnya lagi.
Awal pagi tadi, Khalizah hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan bagi sebutan pertama perceraian.
Peguam mewakili Siti Khalizah iaitu Wan Muhammad Afiq turut memaklumkan anak guamnya memfailkan perceraian terhadap suaminya pada Mei laki atas alasan tiada lagi persefahaman.
Meski memfailkan cerai, Wan Muhammad Afiq berkata, plaintif masih terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan suaminya bagi mencapai pendamaian antara mereka.
Sebelum ini, Fikry dan Khalizah selamat melangsungkan perkahwinan pada 12 Februari lalu di sebuah masjid di Jitra, Kedah. – KOSMO! ONLINE
The post Kenyataan bercanggah dengan peguam, Fikry Ibrahim nafi ‘jual’ gimik appeared first on Kosmo Digital.