Auto Added by WPeMatico

![]()
PUTRAJAYA- Kenaikan harga minyak dunia tidak akan menjejaskan komitmen pembangunan dalam Belanjawan 2027 dan akan diteruskan seperti dirancang.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, walaupun pengurusan harga minyak menjadi perkara mendesak dalam jangka pendek, komitmen pembangunan negara untuk jangka panjang perlu dikekalkan.
“Daripada segi komitmen pembangunan, daripada segi angka, memang akan terus berlaku untuk tahun hadapan.
“Walaupun menguruskan harga minyak itu adalah satu perkara yang mendesak ataupun dalam jangka pendek, komitmen jangka panjang itu tetap perlu dikekalkan,” katanya selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Ekonomi, di sini, hari ini.
Menurutnya, isu harga minyak turut membabitkan keperluan kerajaan mengimbangi kesan gangguan bekalan terhadap rakyat dengan beban fiskal yang perlu ditanggung negara.
Katanya, perkara berkenaan kini berada di bawah penelitian Kementerian Kewangan (MOF) bagi memastikan pengurusan fiskal dapat dilaksanakan sebaik mungkin.
“Di pihak kami, kita mendapat komitmen bahawa dari segi perbelanjaan pembangunan negara tahun hadapan akan diteruskan seperti mana yang kita rancangkan di peringkat Kementerian Ekonomi,” katanya.
Akmal berkata, bagaimanapun, ketidaktentuan masih wujud berikutan pergerakan harga minyak yang boleh berubah disebabkan beberapa faktor.
Beliau berkata, keadaan itu memerlukan kerajaan memastikan ruang fiskal yang ada dapat diuruskan dengan baik tanpa menjejaskan perancangan pembangunan negara.
“Bagaimana pengurusan fiskal itu dapat dibuat dengan sebaiknya adalah Kementerian Kewangan untuk jelaskan tetapi ruang-ruang itu masih ada untuk kita memastikan beban yang ditanggung oleh rakyat akibat kenaikan harga minyak dunia dapat diuruskan dengan sebaik mungkin,” katanya.
Akmal berkata, kerajaan pada masa sama akan memastikan komitmen pembangunan negara terus dilaksanakan seperti dirancang walaupun berdepan tekanan jangka pendek susulan perubahan harga minyak dunia.
15 September lalu, harga minyak mentah dijangka kekal tinggi berikutan gangguan bekalan bahan api dari Asia Barat yang berpotensi menyebabkan penawaran lebih rendah berbanding permintaan, sekali gus memberi tekanan kepada inflasi global dan kewangan kerajaan. – KOSMO! ONLINE
The post Harga minyak tidak jejas Belanjawan 2027 appeared first on Kosmo Online.
