Auto Added by WPeMatico

![]()
SUNGAI PETANI – Seorang penunggang motosikal maut selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori yang dipandu lelaki positif ganja di Jalan Permatang Gedong, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, mangsa berusia 32 tahun mengalami kecederaan parah sebelum meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini kira-kira pukul 6.45 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika pemandu lori dalam perjalanan dari arah Taman Sejati menuju ke tempat kerjanya, manakala penunggang motosikal jenis Yamaha Y15 datang dari arah bertentangan.
“Semasa pemandu lori mula bergerak dan mahu membelok ke kanan, tiba-tiba datang sebuah motosikal dari arah bertentangan yang sedang bergerak lurus sebelum bertembung pada bahagian tayar belakang sisi kiri lori.
“Akibat perlanggaran itu, mangsa terjatuh di atas jalan dan mengalami kecederaan parah sebelum dikejarkan ke HSAH. Mangsa kemudian dilaporkan meninggal dunia di hospital itu pada pagi ini,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, hasil ujian urin ke atas pemandu lori berusia 53 tahun itu mendapati dia positif dadah jenis ganja.
“Proses permohonan reman ke atas pemandu lori terbabit akan dibuat esok dan kes disiasat di bawah Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Pemandu lori kes kemalangan maut positif ganja appeared first on Kosmo Digital.
