Auto Added by WPeMatico

![]()
JITRA – Seorang lelaki Thailand dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar 331 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine di kawasan hutan Durian Burung dekat sempadan Malaysia-Thailand, 9 Disember lalu.
Tertuduh, Muhammad Chemudo, 37, mengangguk faham sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Melayu di hadapan Majistret, Nor Syaliati Mohd. Sobri.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang sebelum itu memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia memahami bahasa Melayu.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengedar 331 kg methamphetamine di sekitar kawasan hutan Durian Burung dalam daerah Padang Terap kira-kira pukul 7 pagi, 9 Disember lalu.
Pendakwaan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau gantung sampai mati dan sekiranya tidak dihukum mati, hendaklah disebat sekurang-kurangnya 15 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pada prosiding sama, Muhammad Chemudo mengaku bersalah atas pertuduhan memasukkan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine ke dalam badan di tandas Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap kira-kira pukul 9.25 malam, 9 Disember lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 yang boleh dikenakan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nasruna Anhar Nordien, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Tiada jaminan diberikan kepada tertuduh dan mahkamah menetapkan 21 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia dan patologi serta kehadiran jurubahasa bahasa Thai.
Kosmo! pada 14 Disember lalu melaporkan pasukan keselamatan berjaya menahan seorang lelaki warga Thailand dan merampas 331 kg dadah jenis syabu bernilai hampir RM11 juta dalam satu operasi bersepadu di hutan Durian Burung dalam daerah Padang Terap berhampiran sempadan Malaysia-Thailand pada 9 Disember.
Tangkapan tersebut dilakukan hasil Operasi Serkap oleh anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari Kem Sahara, Durian Burung susulan maklumat risikan berkaitan aktiviti penyeludupan dadah rentas sempadan.
Dadah berkenaan dibungkus menggunakan pembalut racun tikus dan makanan kering sebelum dipikul menggunakan guni bagi mengaburi mata pihak berkuasa. – KOSMO! ONLINE
The post Lelaki Thailand dituduh seludup 331 kg syabu dalam hutan Durian Burung appeared first on Kosmo Digital.