Auto Added by WPeMatico

RAUB – Seorang wanita didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menceroboh tanah milik Kerajaan Negeri Pahang di Sungai Pertang, Mukim Gali, dengan menanam durian Musang King serta membina pondok tanpa kebenaran pada tahun lalu.
Tertuduh, Yong Lain Kien, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Zaihan Mohamad Ali.
Mengikut kertas pertuduhan, Lain Kien didakwa menduduki tanah kerajaan di koordinat (U 3°44’18.83″ T102°1’40.07″) dan (U 3°44’18.23″ T 102°1’40.90′) pada pukul 11.19 pagi, 9 Ogos tahun lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 425 (1) (a) Kanun Tanah Negara (Akta 828) pindaan 2020 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) Hasmadi Mahyudin dan Nurul Ain Wozzari manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pihak pendakwa menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin warganegara, namun tertuduh merayu jumlah itu dikurangkan atas alasan tidak bekerja dan perlu menyara dua anak yang masih bersekolah.
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 24 September ini untuk lantikan peguam dan serahan dokumen.-KOSMO! ONLINE.
The post Wanita didakwa tanam durian musang king di tanah kerajaan appeared first on Kosmo Digital.