Auto Added by WPeMatico

SHAH ALAM – Penganjuran National Bijak Wang Challenge 2026 anjuran mySalam yang diuruskan sepenuhnya oleh Great Eastern Takaful Berhad dengan sokongan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mencapai matlamatnya untuk melahirkan lebih ramai graduan yang celik kewangan dan bijak menguruskan kewangan peribadi.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, National BijakWang Challenge 2026 menjadikan pembelajaran kewangan lebih menarik kepada generasi muda, sekali gus menarik golongan ini untuk mendalami tentang pengurusan kewangan secara lebih mendalam.
“Daya tahan kewangan tidak terbina dalam sehari. Sebaliknya, daya tahan ini dibina melalui amalan yang konsisten, bulan demi bulan. Menyimpan secara berkala, merancang perbelanjaan, mengurus komitmen mengikut kemampuan dan mendapatkan nasihat adalah antara langkah mudah yang boleh diamalkan secara konsisten.
“Inisiatif seperti Bijak Wang Challenge menjadikan pembelajaran kewangan lebih menarik kepada generasi muda. Tahun ini, lebih 3,000 peserta dari seluruh negara telah menyertai cabaran ini. Tahniah kepada semua peserta atas kesediaan melabur masa dalam menimba ilmu yang akan membantu mereka membuat keputusan kewangan yang lebih baik sepanjang hayat mereka.
“Dalam kehidupan sebenar, kebijaksanaan bukan sekadar mengetahui jawapan tetapi juga mengenal pasti masa yang sesuai untuk berhenti, bertanya dan mendapatkan nasihat,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Celik Kewangan Selangor 2026 serta majlis penyampaian hadiah kepada pemenang National Bijak Wang Challenge 2026 di sini, hari ini.

Turut hadir wakil lantikan Great Eastern Takaful Berhad, Jasveen Kaur Marne dan Ketua Skim mySalam di Great Eastern Takaful Berhad, Syuhaib Ithnin
Rizarina Kaman dari Universiti Utara Malaysia (UUM) muncul juara BijakWang Challenge 2026, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM 5,000, manakala tempat kedua dimenangi oleh Muhammad Zulfadhli Zamhari dari UiTM Cawangan Sarawak Kampus Samarahan 2 dan tempat ketiga menjadi milik Izmar Alfi Zamri dari UiTM Kampus Bukit Besi.
Syuhaib berkata, BijakWang Challenge 2026 menjadi platform pembelajaran yang menggabungkan elemen pengetahuan, kemahiran dan pemikiran strategik dalam aspek pengurusan kewangan.
Katanya, pendedahan berkenaan penting sebagai persediaan kepada mahasiswa sebelum melangkah ke alam pekerjaan yang semakin mencabar, selain membantu mereka membuat keputusan kewangan yang lebih bijak pada masa hadapan.
“Alhamdulillah, sambutan terhadap pertandingan ini amat menggalakkan. Bagi saya, hadiah keseluruhan berjumlah RM30,000 hanyalah pemangkin dalam menjayakan inisiatif ini. Nilai sebenar pertandingan ini terletak pada kesungguhan dan minat para peserta untuk mengetahui lebih lanjut mengenai literasi kewangan sebagai persediaan menghadapi alam pekerjaan.
Melihat kepada kejayaan dan sambutan pada kali ini, kami tidak menolak kemungkinan untuk meneruskan pertandingan ini pada masa akan datang bagi memastikan usaha mendidik golongan mahasiswa mengenai kepentingan literasi kewangan dapat diteruskan,” katanya.
Pendekatan permainan interaktif dengan penggabungan konsep gamifikasi yang digunakan dalam BijakWang Challenge 2026 bertujuan membantu melahirkan generasi muda yang lebih celik kewangan melalui kaedah pembelajaran yang menyeronokkan dan mudah difahami.
“Cabaran kewangan pada masa ini semakin kompleks, namun pendidikan berkaitan perancangan kewangan masih belum diajar secara meluas di institusi pengajian tinggi (IPT). Justeru, mySalam mengambil pendekatan untuk membantu generasi muda meningkatkan literasi kewangan melalui kaedah interaktif, menyeronokkan dan mudah difahami,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Rizarina berkata, penyertaan dalam pertandingan itu memberikan pengalaman berharga dalam meningkatkan pemahaman mengenai pengurusan kewangan, selain menguji kemampuan membuat keputusan secara tepat dalam situasi yang mencabar.
“Alhamdulillah, saya mendapat banyak pendedahan tentang ilmu kewangan apabila menyertai pertandingan ini. Kemenangan ini bukan mengenai hadiah wang tunai semata-mata, sebaliknya ilmu yang saya dapat dan pastinya maklumat yang saya dapat akan dihebahkan rakan-rakan di universiti,” katanya.
Untuk rekod, sehingga 15 Oktober lalu, lebih dua juta penerima telah menerima manfaat mySalam dengan jumlah bayaran tuntutan melebihi RM1.57 bilion.
Orang ramai juga boleh mendapatkan bantuan secara langsung di kiosk mySalam yang beroperasi di hospital kerajaan bagi memudahkan urusan tuntutan. Maklumat lanjut mengenai skim berkenaan boleh diperoleh menerusi laman sesawang rasmi www.mysalam.com.my.
The post mySalam angkat literasi kewangan mahasiswa ke pentas nasional appeared first on Kosmo Online.
