Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Keadaan di Nepal susulan banjir berlumpur yang berlaku baru-baru ini masih rumit dengan skala bencana dan kemusnahan yang disifatkan umpama tsunami.
Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri Nepal, Balendra Shah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi perbualan dalam telefon pagi tadi.
Anwar berkata, bagaimanapun Balendra memberi jaminan bahawa usaha pencarian akan diteruskan sedaya upaya, meskipun keadaan di lapangan semakin mencabar.
“Sebelum berlepas ke China pagi tadi, saya sempat mengadakan perbualan telefon dengan Perdana Menteri Nepal, Balendra Shah.
“Bagi pihak rakyat Malaysia, saya menyampaikan rasa simpati dan dukacita kepada Kerajaan serta rakyat Nepal atas bencana dahsyat yang melanda negara itu bulan lalu,” katanya dalam hantaran di Facebook di sini hari ini.
Anwar berkata, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Nepal, pihak berkuasa serta pasukan penyelamat yang telah bekerja keras dalam operasi mencari mangsa, termasuk 55 rakyat Malaysia yang masih belum ditemui.
“Dalam perbualan ini, saya menyampaikan keresahan dan harapan keluarga 55 rakyat Malaysia yang masih menantikan kepastian mengenai nasib insan tersayang.
“Saya turut membangkitkan keperluan mewujudkan suatu mekanisme rasmi sekiranya mangsa tidak dapat ditemukan dan proses pencarian tidak dapat memberikan kepastian,” jelasnya.
Katanya, langkah itu penting bagi membantu keluarga yang terkesan menguruskan perkara berkaitan undang-undang, kewangan dan pentadbiran.
“Saya akan mengutus surat rasmi kepada PM Shah bagi memperincikan cadangan ini.
“Saya berharap segala ikhtiar yang digerakkan akan membuahkan hasil dan memberikan kepastian yang amat dinantikan, terutama buat keluarga kesemua 55 rakyat Malaysia yang masih belum ditemui,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Nepal beri jaminan terus usaha cari rakyat Malaysia yang hilang appeared first on Kosmo Online.
