Auto Added by WPeMatico

BATU PAHAT – Dua nelayan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menyimpan burung murai batu, Mei lalu.
Tertuduh, Faiszuan Mohd Saad, 37, dan Mohamad Syahrul Izwan Suandi, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan jurubahasa di hadapan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh.
Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama menyimpan 26 ekor burung murai batu yang juga spesies dilindungi di bawah Jadual Kelapan Akta Pemulihaaran Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu pada kedudukan 9.2 batu nautika Tanjung Labuh, di sini pada pukul 1 pagi, 30 Mei lalu.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 60 (2) Akta Pemulihaaran Hidupan Liar 2010 yang boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara tiga tahun jika sabit kesalahan.
Pada prosiding itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) diketuai Pegawai Pendakwa Afzan Suhaimi manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Suhaila Shafi’uddin.
Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM5,000 seorang dan kes disebut semula pada 24 Oktober ini untuk serahan dokumen.
Kedua-dua tertuduh membayar ikat jamin itu. – KOSMO! ONLINE
The post Dua nelayan didakwa simpan 26 ekor burung murai batu appeared first on Kosmo Digital.