Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Fadhlina Sidek menegaskan, agenda Reformasi Sekolah yang sedang digerakkan oleh kementeriannya bukan sahaja bertujuan melonjakkan prestasi akademik, malah memperkukuh pembentukan sahsiah dan kesejahteraan murid.
Menteri Pendidikan itu berkata, inisiatif tersebut menuntut komitmen padu daripada seluruh ekosistem pendidikan termasuk pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), ibu bapa serta komuniti setempat.
“Reformasi Sekolah bukan sekadar pembaikan struktur, tetapi usaha menyeluruh untuk membina persekitaran pembelajaran yang harmoni dan membudayakan nilai-nilai murni di sekolah.
“Sebab itu, apabila saya secara tidak dirancang mengunjungi SMKA Lati (Pasir Mas) dan melihat guru serta murid bergotong-royong membersihkan kawasan sekolah, saya melihat ia sebagai manifestasi langsung kepada semangat reformasi ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.
Fadhlina berkata, walaupun berdepan pelbagai isu berkaitan pendidikan sejak kebelakangan ini, masih banyak amalan baik yang wajar diketengahkan dan diraikan.
“Program gotong-royong seperti ini mungkin kelihatan kecil, tetapi jika dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh, impaknya besar kepada pengukuhan budaya sekolah yang positif,” katanya.
Dalam lawatan singkat itu, beliau turut menyampaikan mesej tegas kepada seluruh warga sekolah agar tidak sesekali berkompromi dalam menangani salah laku buli.
“Budaya buli perlu diperangi dan dinoktahkan sepenuhnya,” tegasnya.
Fadhlina turut menitipkan semangat kepada pelajar yang sedang membuat persiapan akhir menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) supaya terus berusaha dan berdoa demi kejayaan. – KOSMO! ONLINE
The post Reformasi Sekolah lonjak budaya positif pendidikan appeared first on Kosmo Digital.