Auto Added by WPeMatico

![]()
PONTIAN – Sebanyak sembilan syarikat dikesan mempunyai kaitan dengan aktiviti membawa masuk dan membuang sisa bahan binaan dari Singapura di daerah ini, namun setakat ini hanya sebuah syarikat dikenal pasti terlibat.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, maklumat mengenai syarikat terbabit diperoleh hasil siasatan awal pihak berkuasa dan pihaknya akan memastikan semua pihak yang terlibat dikenakan tindakan tegas.
Menurut beliau, pihaknya kini sedang mengesan lokasi serta pihak yang menerima sisa bahan binaan berkenaan, selain menjalankan siasatan bagi menentukan kesahihan maklumat mengenai syarikat terbabit.
“Dalam rekod di peringkat agensi berkaitan, terdapat lapan syarikat yang dikesan mempunyai kaitan, tetapi setakat ini hanya satu syarikat dikenal pasti terlibat.
“Jadi kita akan teruskan siasatan untuk mengenal pasti ke mana sisa bahan binaan itu dihantar dan siapa yang bertanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan kerja ke lokasi penambakan sisa bahan binaan di Kampung Sungai Senai, Belokok, di sini kelmarin.
Mohd. Jafni berkata, semakan Pejabat Tanah mendapati tiada permohonan kerja tanah dikemukakan bagi aktiviti berkenaan, manakala pihak berkuasa tempatan (PBT) juga tidak menerima permohonan kebenaran merancang.
Kata beliau, keadaan itu menunjukkan aktiviti berkenaan dilakukan tanpa kelulusan sewajarnya dan tindakan penguatkuasaan akan diambil sekiranya pihak terbabit gagal memberikan penjelasan munasabah.
“Kalau mereka tidak datang dengan penjelasan yang memuaskan termasuk berkaitan permohonan kebenaran merancang dan kerja tanah, kita akan terus tahan aktiviti itu
sehingga kelulusan diperoleh,” katanya.
Beliau berkata, tiga kertas siasatan telah dibuka berhubung isu berkenaan mengikut peruntukan Seksyen 71(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672), untuk tindakan lanjut termasuk pendakwaan.
Dalam pada itu, dua pemilik tanah tempatan akan turut dipanggil untuk membantu siasatan bagi menentukan sama ada mereka mengetahui atau mempunyai kaitan dengan aktiviti pembuangan sisa bahan binaan di tanah berkenaan.
Katanya, penduduk yang mengalami kerosakan rumah termasuk keretakan akibat pergerakan lori terbabit boleh membuat aduan dan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang bertanggungjawab sekiranya hasil siasatan mengesahkan kaitan tersebut.
“Bagi rumah yang mempunyai pelan dan perlindungan insurans, pemilik boleh membuat tuntutan.
“Namun, bagi rumah kampung yang tidak mempunyai pelan atau insurans, prosesnya lebih sukar dan mereka boleh mengambil tindakan undang-undang jika dapat membuktikan kerosakan berpunca daripada pihak terbabit,” katanya. -KOSMO! ONLINE
The post Bukan satu tapi 9 syarikat buang sisa Singapura appeared first on Kosmo Digital.
