Auto Added by WPeMatico

![]()
GUA MUSANG – Doa dan solat hajat yang dilakukan ahli keluarga bersama orang ramai sepanjang lima hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) akhirnya dimakbulkan apabila mayat Mohd. Ilham Che Mat Satar, 27, ditemukan di Sungai Galas, Kampung Batu 6 di sini, hari ini.
Ibu mangsa, Rozita Ramli, 47, berkata, selain usaha pencarian yang dilakukan pelbagai agensi, sokongan masyarakat yang mengadakan solat hajat dan mendoakan keselamatan anaknya turut memberi kekuatan kepada keluarganya.
Katanya, penemuan itu mengakhiri penantian keluarga yang tidak pernah putus berdoa agar Mohd. Ilham segera ditemukan sejak hilang pada Isnin lalu.
“Alhamdulillah, akhirnya Allah SWT memakbulkan doa kami sekeluarga termasuk semua yang mendoakan Mohd. Ilham. Kami reda dengan ketentuan-Nya walaupun dia ditemukan dalam keadaan sudah meninggal dunia.
“Lebih menyentuh hati apabila mayatnya ditemukan pada hari Jumaat yang mulia. Kami amat berterima kasih kepada semua pihak yang membantu dalam operasi mencari dan orang ramai yang tidak putus-putus mengadakan solat hajat dan mendoakan anak saya,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Gua Musang di sini hari ini.
Rozita berkata, pada hari kelima operasi, seluruh ahli keluarga termasuk isteri mangsa, Nor Aidasazliza Razali, 25, turut menyertai pencarian dengan menaiki bot di sepanjang Sungai Galas sambil terus berdoa agar Mohd. Ilham segera ditemukan.
Katanya, jenazah Mohd. Ilham akan dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Limau Kasturi selepas proses bedah siasat di Hospital Gua Musang.
Kosmo! Online hari ini melaporkan, selepas lima hari hilang, mayat seorang jurukimpal yang dikhuatiri lemas selepas bot dinaikinya terbalik di Sungai Galas, Kampung Batu 6 di sini akhirnya ditemukan hari ini.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, mayat Mohd. Ilham dijumpai pada jarak kira-kira tiga kilometer dari lokasi dia dipercayai terjatuh ke dalam sungai pada pukul 1 tengah hari tadi. – KOSMO! ONLINE
The post Ibu tak pernah putus doa agar mayat Mohd. Ilham segera dijumpai appeared first on Kosmo Digital.
