Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Keluarga kepada pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, melahirkan rasa syukur apabila dapat berkumpul semula selepas dua minggu berpisah susulan kehilangan wanita itu di Gunung Batu Putih, Tapah, Perak.
Kakak kepada Jaslinda yang dikenali sebagai Min_jd di aplikasi Thread memuat naik dua keping gambar memaparkan Jaslinda yang pulang bertemu kedua ibu bapanya serta adik-beradiknya yang lain.
Kakaknya berkata, mereka sekeluarga seronok mendengar celoteh anak bongsu tersebut kerana itulah yang paling dirindui sepanjang kehilangan Jaslinda.
“Alhamdulillah… Syukur. Kami menunggu Jaslinda dan berkumpul di rumah Mak Ayah… Mak Ayah setia menanti sejak kehilangan dia. Seronok, macam biasa kita dengar celoteh si bongsu.
“Along dan Kak Lang layankan je. Sebab, celoteh Jaslinda tu yg buat kami rindu sangat. Berehatlah sepuas-puasnya ya adindaku. Semoga cepat sembuh, tenang-tenang je dulu,” katanya.
Kakaknya juga menitipkan kata-kata semangat buat Jaslinda dan berdoa untuk setiap tindakan yang dilakukan ibu dua orang anak itu.
“Kami akan tetap menyokong dan sentiasa berdoa. Sebab, hanya kami yang kenal siapa itu Jaslinda,” ujarnya sambil meletakkan tanda pagar #alhamdulillah.
Semalam, Jaslinda dibenarkan keluar daripada Wad Perempuan, Hospital Tapah kira-kira pukul 1.50 petang.
Kosmo! sebelum ini melaporkan Jaslinda yang dilaporkan hilang di Gunung Batu Putih sejak 23 Mei ditemui dalam keadaan selamat 6 Jun lalu.
Kehilangan wanita itu selama dua minggu sebelum ini bukan sahaja menggemparkan Malaysia malah dianggap luar biasa apabila ditemui dengan selamat di Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Seronok dengar celoteh Jaslinda’ appeared first on Kosmo Digital.
