Auto Added by WPeMatico

SEPI tanpa suri hidup, penyanyi rock legenda, Ali XPDC mengakui Ramadan dan Aidilfitri tahun ini membawa makna cukup mendalam selepas genap setahun pemergian isteri tercinta, Allahyarham Sharifah Azuwanna Syed Joneh akibat kanser payudara.
Ujar Ali atau nama sebenarnya Mohd. Ali Ismail, 57, kenangan ketika dia dan arwah isteri sama-sama dirawat di hospital masih segar dalam ingatan sehingga membuatkan hatinya sering dilanda sebak.
Memang terasa sedih setiap kali mengenangkan detik itu namun kehidupan perlu diteruskan kerana semua ini ujian daripada Allah.
“Cuma Ramadan kali ini agak berbeza kerana saya berjaya berpuasa sehingga hari ini,” katanya kepada HibGlam
Tambah pelantun lagu Ratapan Memori Usang itu, keadaan kesihatannya juga semakin baik berbanding tahun lalu sehingga membolehkan dirinya menunaikan ibadah puasa dengan lebih sempurna.
“Tahun lalu saya tidak dapat berpuasa kerana keadaan kesihatan tidak mengizinkan.
Tahun ini Alhamdulillah keadaan lebih baik walaupun selepas pulang daripada umrah pada 28 Januari lalu saya dimasukkan ke Hospital Serdang akibat jangkitan virus.
“Syukur kerana sekarang saya mampu berpuasa dan beribadat dengan lebih sempurna,” ujarnya pada Majlis Jalinan Kasih bersama Pusat Kebajikan Anak-anak Yatim dan Ibu Tunggal (Hajah Kamariah) anjuran ratu rock negara, Ella, di sini, baru-baru ini.
Dalam pada itu, kehidupan Ali kini turut diserikan kehadiran cucu sulungnya, Mariana, sekali gus menjadi pengubat rindu terhadap arwah isteri.
Mariana hanya sempat bertemu arwah neneknya sekali sahaja ketika anak saya pulang dari hospital selepas bersalin.
“Ketika itu isteri saya pula hendak bergerak ke hospital untuk rawatan.
“Raya kali ini terasa lebih bermakna dengan kehadiran cucu. Tahun ini saya tidak ke mana-mana dan sambut Aidilfitri di Bangi sahaja,” luahnya.
Ditanya status terkini keadaan kesihatannya, Ali berkata, dirinya masih perlu menjalani rawatan serta pemeriksaan kesihatan secara berkala seperti disarankan doktor.
Doktor akan memeriksa jantung, paru-paru dan beberapa perkara lain. Mei nanti saya perlu hadir semula untuk pemeriksaan seterusnya.
“Sekarang pun saya masih mengambil lapan jenis ubat setiap hari selain perlu berpantang makanan tertentu seperti kacang dan makanan berangin,” kongsinya.
Untuk rekod, isteri Ali iaitu Allahyarham Sharifah Azuwanna Syed Joneh menghembuskan nafas terakhir di Hospital Putrajaya pada 6 April tahun lalu selepas bertarung dengan kanser payudara. – HIBGLAM
