Auto Added by WPeMatico
Tengku Zafrul akan beri keterangan dalam bicara kes Muhyiddin 6 Julai ini

![]()
KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akan dipanggil sebagai saksi ke-11 dalam perbicaraan kes Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung pertuduhan menyalahgunakan kedudukan melibatkan suapan berjumlah RM225.3 juta dan menerima wang RM200 juta hasil aktiviti haram.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin selepas saksi pendakwaan ke-10, R.Harshini selesai memberi keterangan pada prosiding perbicaraan kes itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Noor Ruwena Md Nurdin.
“Pihak kami akan memanggil Tengku Zafrul pada perbicaraan seterusnya pada 6 Julai nanti,” kata Wan Shaharuddin.
Terdahulu semasa prosiding, Noor Ruwena meminta pihak-pihak memberikan keutamaan kepada kes ini kerana ia merupakan kes berprofil tinggi yang menjadi tumpuan umum.
“Saya berharap kes ini dapat diselesaikan pada atau sebelum tarikh 14 September untuk kes peringkat pendakwaan, sebelum pihak-pihak mengemukakan hujahan selain mahkamah juga perlu meneliti semua keterangan.
“Saya pasti Tan Sri (Muhyiddin) juga mahu kes ini diselesaikan dengan cepatkan, kalau tidak beliau nak bergerak pun susah,” kata hakim itu.
Sebelum ini mahkamah telah menetapkan 29 hari untuk mendengar perbicaraan kes itu yang telah bermula pada 9 hingga 11 Mac; 13, 16, 28 dan 29 April; 25 dan 26 Mei; 6 hingga 10, 13 hingga 17 serta 27 hingga 29 Julai, dan bersambung pada 17 hingga 21 dan 26 serta 27 Ogos.
Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, Muhyiddin, 79, didakwa sebagai Perdana Menteri dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), menggunakan kedudukan untuk suapan wang berjumlah RM225.3 juta daripada seorang individu dan tiga syarikat sekutu parti itu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021 yang didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Hukuman bagi seksyen itu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kelima hingga ketujuh, Muhyiddin selaku Presiden Bersatu didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah lebih RM200 juta daripada sebuah syarikat yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank dan AmBank milik parti.
Pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi. – KOSMO! ONLINE
The post Tengku Zafrul akan beri keterangan dalam bicara kes Muhyiddin 6 Julai ini appeared first on Kosmo Digital.
