Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Penganjuran sulung Baling Escapade Festival (BEF) 2026 berjaya menarik penyertaan lebih 60 usahawan yang menawarkan pelbagai produk makanan dan minuman, barangan hasil tangan tempatan dan juga keperluan gaya hidup.
Program anjuran Raydiates Blue Sdn Bhd itu menjadi satu platform pembangunan ekonomi komuniti yang menggabungkan elemen keusahawanan, pelancongan, gastronomi dan warisan budaya dalam satu festival yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat setempat.
Pengurus penganjuran, Rayme Zainal berkata, kejayaan penganjuran edisi sulung ini membuktikan bahawa Baling mempunyai potensi besar untuk berkembang sebagai destinasi festival yang mampu menjana limpahan ekonomi kepada komuniti setempat.
“Sepanjang festival berlangsung, pelbagai pengisian telah disediakan termasuk Anjung Malaysiaku Foodie Fiesta, reruai usahawan, bazar makanan, trak makanan, pameran agensi kerajaan, aktiviti keluarga serta pelbagai program komuniti yang memberi nilai tambah kepada pengalaman pengunjung,” katanya dalam kenyataan.

Kejayaan BEF 2026 turut didorong oleh sokongan padu daripada pelbagai agensi dan rakan strategik termasuk Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Tourism Kedah, Majlis Amanah Rakyat Kedah, Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dan Majlis Daerah Baling yang bersama menyokong pembangunan pelancongan, keusahawanan serta ekonomi komuniti di daerah Baling.
Festival itu turut menerima sokongan daripada Smartfix Pro Centre, sebuah syarikat bumiputera sebagai penaja rasmi sekali gus mencerminkan keyakinan sektor swasta terhadap potensi Baling sebagai destinasi festival yang mampu memberi nilai ekonomi kepada komuniti dan usahawan tempatan.
Selain memberi fokus kepada pembangunan usahawan, BEF 2026 turut mengetengahkan warisan gastronomi Kedah menerusi Anjung Malaysiaku Foodie Fiesta yang menampilkan pelbagai makanan tradisional, produk tempatan serta demonstrasi masakan warisan.
Melalui kerjasama bersama KEDA, pengunjung berpeluang menyaksikan demonstrasi masakan tradisional Kedah yang dikendalikan oleh tenaga pengajar dan pelajar Kolej KEDA.

Antara hidangan tradisional yang dipersembahkan ialah Serabai Kuah Durian, Kerabu Pais Ikan dan Ubi Kayu Cicah Nyoq yang merupakan antara resipi warisan masyarakat Kedah dan semakin jarang dipertontonkan kepada masyarakat umum.
Menurut Rayme, demonstrasi tersebut bukan sekadar memperkenalkan resipi tradisional, malah bertujuan memastikan warisan kulinari negeri Kedah terus dipelihara, didokumentasikan dan diwariskan kepada generasi muda.
“Makanan tradisional adalah sebahagian daripada identiti dan sejarah sesebuah masyarakat.
“Melalui demonstrasi masakan ini, kami mahu mengangkat semula hidangan warisan Kedah sebagai produk pelancongan gastronomi yang mampu menarik minat pelancong, selain memastikan resipi-resipi tradisional ini terus dikenali oleh generasi akan datang,” katanya.
Pada masa sama, Rayme menambah, The Cultural Jam @ Baling menjadi antara tarikan utama festival apabila mengetengahkan pelbagai persembahan seni budaya tradisional yang semakin sukar ditemui dalam penganjuran festival moden.
Program tersebut menampilkan persembahan Wayang Kulit, Menora, Silat Melayu, demonstrasi seni mempertahankan diri tradisional serta pelbagai persembahan budaya rakyat yang memberi peluang kepada pengunjung mengenali semula kekayaan warisan seni Malaysia.
Menurut Rayme, penganjuran The Cultural Jam @ Baling diwujudkan sebagai platform untuk meraikan, memelihara dan memperkenalkan seni budaya tempatan kepada masyarakat serta pelancong. -KOSMO! ONLINE
The post Baling Escapade Festival platform pembangunan ekonomi komuniti di Kedah appeared first on Kosmo Digital.
