Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sedang meneliti ekosistem industri simen susulan peningkatan harga bahan binaan itu yang dilihat antara faktor mempengaruhi kos projek perumahan di negara ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Fuziah Salleh berkata, kajian mendapati kenaikan harga simen berlaku susulan perubahan struktur pasaran akibat aktiviti percantuman dan pengambilalihan yang meningkatkan penumpuan pasaran serta mengurangkan persaingan harga.
“Faktor lain yang turut menyumbang kepada kenaikan harga simen ialah peningkatan kos bahan mentah seperti arang batu, kos tenaga dan bahan api selain kos logistik serta pengangkutan.
“Dapatan menunjukkan peningkatan harga simen berlaku susulan perubahan struktur pasaran akibat aktiviti percantuman dan pengambilalihan yang meningkatkan penumpuan pasaran dalam rantaian bekalan simen,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib (PN-Maran) berhubung langkah pemantauan terhadap harga tawaran dan pakej perumahan di negara ini.
Fuziah berkata, selain industri simen, MyCC turut menjalankan Kajian Semula Pasaran Bahan Binaan dalam Industri Pembinaan melibatkan empat bahan utama iaitu besi, simen, konkrit siap bancuh dan pasir bagi menilai tahap persaingan serta mengenal pasti isu yang menjejaskan pasaran.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan harga pasaran perumahan negara ketika ini berada pada tahap stabil.
Katanya, MyCC tidak pernah menerima aduan berkaitan amalan anti persaingan yang melibatkan tawaran harga dan pakej perumahan secara spesifik.
“Menurut Indeks Harga Rumah Malaysia (IHRM) 2025 yang diterbitkan NAPIC, kadar pertumbuhan harga rumah menurun daripada 4.4 peratus pada suku keempat 2024 kepada 1.5 peratus pada suku keempat 2025.
“Pergerakan ini membuktikan harga pasaran perumahan secara umumnya adalah stabil,” katanya. – KOSMO! ONLINE.
The post Dewan Rakyat: MyCC teliti industri simen, harga rumah kekal stabil appeared first on Kosmo Digital.
