Auto Added by WPeMatico

KOTA BHARU – Seorang penjaga stor didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan melakukan seks luar tabii dan amang seksual terhadap anak tirinya yang berusia 16 tahun di dalam sebuah rumah dekat sini pada Disember lalu hingga Mac tahun ini.
Tertuduh yang berusia 48 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut kelima-lima pertuduhan, tertuduh yang mempunyai hubungan amanah dengan mangsa didakwa melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan berusia 16 tahun tujuh bulan di dalam sebuah rumah di sini pada Disember 2024, Februari dan Mac lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a), Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 377B dibaca bersama seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad manakala tertuduh diwakili peguam, Aisyah Abdullah.
Terdahulu, Ahmad Faiz Fitri tidak mencadangkan jaminan memandangkan tertuduh melakukan perbuatan yang berulang sejak tahun lalu.
Aisyah dalam rayuannya memohon ikat jamin minimun memandangkan anak guamnya mempunyai lima orang anak yang masih bersekolah dan merupakan penanggung tunggal keluarga.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM20,000 dengan syarat tertentu selain menetapkan 8 September depan untuk sebutan semula kes.
Tertuduh membayar ikat jamin yang ditetapkan mahkamah. – KOSMO! ONLINE
The post Penjaga stor didakwa ‘ratah’ anak tiri appeared first on Kosmo Digital.