Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Dua beradik mangsa insiden kebakaran di Ulu Dong, Raub, Pahang menerima khabar gembira apabila dijadikan anak angkat Majlis Amanah Rakyat (Mara), sekali gus membuka lembaran baharu dalam kehidupan mereka.
Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau berkesempatan bertemu sendiri dengan Ruby Adalia Balqis dan adiknya, Ahmad Balia Murqam pagi tadi bagi melihat keadaan mereka selepas tragedi berkenaan.
Menurutnya, beliau bersyukur kerana kedua-dua pelajar itu dilihat semakin stabil dan kuat berbanding hari-hari awal kejadian.
“Saya sempat bertanyakan tentang pelajaran, cita-cita dan minat mereka. Dalam kesedihan yang masih bersisa, masih ada sinar harapan dalam hati anak-anak ini.
“Mereka telah bersetuju untuk dijadikan anak angkat Mara dan insya-Allah kita akan memikul amanah ini dengan penuh tanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata, Ruby yang kini mengikuti pengajian dalam bidang perakaunan di Kolej Matrikulasi Pahang menyatakan hasrat untuk menjadi guru dan bercita-cita melanjutkan pelajaran ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Katanya, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mengarahkan beliau bersama Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir untuk membantu menyusun laluan terbaik bagi merealisasikan impian tersebut.
Sementara itu, Ahmad Balia yang meminati bidang keusahawanan ditawarkan menyambung pengajian di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bentong dalam aliran teknikal.
“Alhamdulillah, beliau bersetuju. Sebagai anak angkat Mara, kita akan memastikan kebajikan, pendidikan dan pembangunan sahsiah mereka dipantau rapi supaya masa depan mereka tidak terjejas walau sedikit pun akibat tragedi ini,” ujarnya.
Dalam lawatan sama, beliau turut meninjau lokasi kebakaran yang meragut nyawa insan tersayang mereka dan menyifatkan keadaan tersebut amat menyentuh hati.
“Saya tegaskan kepada mereka bahawa mereka tidak keseorangan. Mara dan seluruh rakyat Malaysia amat prihatin serta akan terus mendoakan kesejahteraan dan kejayaan mereka.
“Daripada ujian berat ini akan lahir kekuatan luar biasa. Semoga Allah SWT memelihara dan mempermudahkan segala urusan kedua-dua pelajar ini,” katanya.- KOSMO! ONLINE
The post Adik Balia ditawar belajar ke MRSM appeared first on Kosmo Digital.
