Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan berhubung sebuah video majlis akikah yang meniru gaya istiadat kerabat diraja.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, video tersebut memaparkan sebuah keluarga berpakaian serba kuning dan bertengkolok seperti istiadat kerabat diraja dalam majlis akikah.
Menurutnya, siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5, Bukit Aman.
“Tindakan itu dipercayai menyalahgunakan lambang diraja dan kini disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah M. Kumar, peruntukan undang-undang berkenaan memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga tiga tahun bagi kesalahan tertentu, selain denda sehingga RM1,000 bagi penggunaan tidak wajar lambang diraja.
Terdahulu, tular di media sosial video memaparkan keluarga seorang pempengaruh dan ahli perniagaan mengenakan pakaian serba lengkap ala diraja pada majlis akikah anaknya yang berlangsung baru-baru ini.
Tindakan itu menimbulkan kecaman pengguna media sosial yang menganggap ianya salah di sisi undang-undang kerana tidak menghormati istiadat diraja. – KOSMO! ONLINE
The post Pempengaruh pakai baju serba kuning ala diraja ketika akikah disiasat appeared first on Kosmo Digital.