Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Keliru dan tertanya-tanya, pelakon Sharifah Haneesya berasa pelik memikiran situasi masih bergelut mencari peluang untuk melakonkan watak utama biarpun sudah bertahun-tahun berada industri.
Menurut Haneesya atau nama lengkapnya Sharifah Haneesya Hanee Sayed Sahkan, 26, kadangkala dia menyalahkan diri sendiri atas kisah silamnya yang pernah menggegar industri satu ketika dahulu sebagai punca jalan sukar yang dilaluinya hari ini.
“Saja nak beritahu, sampai ke hari ini saya masih susah nak dapat ‘job’. Saya rasa seperti saya masih perlu membayar atas kesalahan yang saya lakukan pada 2018.
“Saya sudah berada dalam industri ini selama beberapa tahun. Tapi nak dapat peluang jadi watak utama atau watak besar memang sangat susah.
“Sehingga hari ini saya masih persoal diri sendiri. Adakah saya sudah cukup bagus? Adakah lakonan saya baik? Adakah saya benar-benar berbakat?,” luahnya dalam Threads.
Tambahnya lagi, dia merupakan graduan sekolah seni dan menuntut ilmu teater selama dua tahun.
“Saya pergi banyak kelas lakonan dan terus-terusan mencuba untuk belajar dan tingkatkan kemampuan diri sebagai seorang pelakon.
“Namun bila peluang masih tidak datang, saya tertanya-tanya adakah apa yang saya belajar selama ini hanyalah sia-sia,” tulisnya.
Tidak mahu berputus asa terlalu awal, kata Haneesya dia terima segala tawaran yang hadir tidak kira watak apa sekalipun kerana mahu terus berlakon.
“Saya terima hampir semua watak yang ditawarkan. Walaupun watak yang orang anggap hina. Kena diburukkan, mekap macam badut, pakai baju pelik-pelik dan berwarna-warni. Atau mainkan watak bimbo yang nampak macam orang bangang.
“Saya bukannya tidak bersyukur, saya sekadar mahukan peluang untuk untuk buktikan diri sendiri.
“Namun saya sering diberikan watak sebagai perempuan jahat. Kadang-kadang saya tertanya-tanya adakah sebab kulit saya hitam?
“Saya salahkan banyak perkara tetapi kebanyakan masa saya salahkan diri sendiri. Sejujurnya saya rasa kehadiran saya dalam industri ini seperti tidak dipandang,” ujarnya.
Kata Haneesya, dia bukan mahu menangguk di air keruh berikutan kontroversi yang sedang melanda seorang aktor popular, namun sekadar ingin berterima kasih kepada netizen yang menghargai bakatnya dan meluahkan rasa simpati kerana bakatnya dipandang enteng gara-gara terpalit kontroversi lapan tahun lalu. – KOSMO! ONLINE.
The post ‘Sering dapat watak jahat, adakah sebab kulit saya hitam?’ appeared first on Kosmo Online.
