Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Seramai 31 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan kerja di Myawaddy, Myanmar telah dipindahkan ke kawasan selamat oleh Tentera Diraja Thailand sebelum dihantar pulang ke tanah air.
Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok dalam kenyataan berkata, kesemua mangsa kini berada dalam keadaan selamat dan akan direpatriasi ke Malaysia dalam masa terdekat.
Timbalan Ketua Misi, Bong Yik Jui, dan Ketua Canselori, Jarin Sijaya, bertemu dengan semua mangsa tersebut pada 8 Disember lalu selepas mereka berjaya dievakuasi dari Myawaddy.
Media melaporkan proses membawa pulang 31 rakyat Malaysia yang terkandas di sempadan Myanmar dan Thailand selepas menjadi mangsa penipuan pekerjaan dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya dua minggu.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dilapor berkata ia disebabkan proses penahanan, tindakan mahkamah, denda dan tahanan sementara ke atas mereka berikutan kemasukan ke Thailand secara tidak sah.
Terdahulu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia, Datuk Hishamuddin Hashim dilapor berkata, setakat ini tiada perkembangan baharu diperoleh berhubung usaha membawa keluar kumpulan tersebut ke kawasan selamat.
Pihak berkuasa sempadan Thailand masih belum memberikan kebenaran kepada mangsa untuk memasuki negara itu, sekali gus menjejaskan proses menyelamat.
Kesemua mereka berada dalam keadaan amat kritikal selepas diusir berikutan pertempuran antara kumpulan bersenjata di kawasan terbabit.
Mereka kemudian terpaksa berlindung di tepi sungai dalam cuaca sejuk antara 13 hingga 17 darjah Celsius tanpa bekalan makanan mencukupi. – KOSMO! ONLINE
The post 31 rakyat Malaysia mangsa scam kerja selamat dipindahkan dari Myawaddy appeared first on Kosmo Digital.