
![]()
TEHERAN: Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran memberi amaran kesinambungan sekatan maritim Amerika Syarikat (AS) boleh membawa kepada penutupan Selat Hormuz dan laluan perairan strategik lain.
Menurut kenyataan yang disiarkan penyiar kerajaan IRIB, Mohammad Bagher Zolghadr, berkata tindakan ‘provokasi’ berterusan AS bukan sahaja akan mengetatkan sekatan terhadap Selat Hormuz, malah boleh menyebabkan laluan maritim strategik lain turut ditutup.
Beliau memberi amaran tindakan Washington itu akhirnya akan ditanggung ekonomi global, pasaran tenaga dan pengundi Amerika, yang dipercayai merujuk kepada pilihan raya Kongres AS pada November ini, ketika isu kenaikan harga dan perang yang tidak popular menjadi antara kebimbangan utama.
14 Julai lalu, Komando Pusat AS (CENTCOM) mengumumkan penguatkuasaan semula sekatan maritim terhadap Iran atas arahan Presiden Donald Trump.
Ketegangan antara AS dan Iran meningkat dalam beberapa minggu kebelakangan ini apabila Washington melancarkan serangan terhadap Iran, manakala Teheran bertindak balas dengan menyasarkan kemudahan serta peralatan ketenteraan AS di rantau berkenaan.
AS menuntut Iran menghentikan serangan terhadap kapal komersial serta menjamin kebebasan pelayaran melalui Selat Hormuz.
Sebaliknya, Teheran menegaskan pergerakan kapal melalui laluan strategik itu perlu dikawal menerusi mekanisme yang ditadbirnya di sepanjang perairan pantai.- ANADOLU
The post Iran ancam tutup Selat Hormuz jika sekatan AS berterusan appeared first on Utusan Malaysia.
