Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA: Stigma sosial terhadap kesihatan mental menyebabkan kebanyakan orang yang mengalaminya menderita sendirian di dalam diam dan malu untuk mendapatkan bantuan daripada profesional terlatih.
Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah bertitah, tekanan hidup yang semakin mencabar menyebabkan ramai orang dewasa berdepan masalah psikologi akibat ketidaktentuan kewangan, beban hutang dan hubungan kekeluargaan yang kompleks.
Memetik laporan sebuah portal tempatan mengenai tekanan yang dihadapi golongan dewasa dan kanak-kanak, Raja Permaisuri Agong bertitah situasi itu memerlukan perhatian serius semua pihak.
“Kajian yang diketengahkan oleh NST menunjukkan 16.5 peratus kanak-kanak berumur lima hingga 15 tahun bergelut dengan masalah kesihatan mental, manakala seorang daripada empat remaja berusia 13 hingga 17 tahun mengalami kemurungan,” titah Raja Permaisuri Agong pada Majlis Graduasi Ke-10 University of Reading Malaysia, hari ini.
Raja Zarith Sofiah yang menerima Ijazah Kehormat Doktor Psikologi daripada universiti berkenaan bertitah, usaha menangani isu kesihatan mental perlu diperkasakan memandangkan disiplin dan pengetahuan dalam bidang psikologi semakin relevan pada masa kini.
Menurut Raja Permaisuri Agong, pemahaman terhadap tingkah laku manusia, motivasi, daya tahan dan hubungan sesama insan amat penting dalam usaha membina komuniti yang lebih kukuh serta masyarakat yang harmoni.
Dalam pada itu, Raja Zarith Sofiah bertitah masyarakat kini hidup dalam era yang menyaksikan ucapan kebencian serta keengganan memahami individu yang berbeza semakin mendapat perhatian.
“Ironinya, ketika maklumat dan ilmu pengetahuan semakin mudah diakses melalui laman sesawang, media sosial dan pelbagai platform digital, kita menjadi kurang bertoleransi, kurang prihatin dan lebih cenderung mencari perbezaan daripada persamaan yang dikongsi bersama tanpa mengira latar belakang etnik, kepercayaan dan peranan dalam masyarakat,” titah Raja Permaisuri Agong.
Raja Zarith Sofiah menegaskan institusi pengajian tinggi mempunyai tanggungjawab besar bukan sahaja melahirkan graduan berpengetahuan dan berkemahiran, malah membentuk insan yang berkeperibadian, berintegriti serta mempunyai nilai moral yang tinggi.
Memetik pandangan Allahyarham Profesor Diraja Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas, Raja Zarith Sofiah mengingatkan bahawa matlamat pendidikan bukan sekadar melahirkan tenaga kerja mahir, sebaliknya membentuk insan yang beradab dan berakhlak mulia.
“Bimbingan guru, mentor serta akses kepada buku dan ilmu pengetahuan mampu membuka ruang untuk seseorang mencapai perkara yang sebelum ini dilihat sukar.
“Transformasi itu bukan hanya diukur melalui pencapaian akademik, tetapi turut terserlah menerusi keyakinan diri, daya tahan, sifat ingin tahu dan kesediaan menyumbang kepada masyarakat,” titah Raja Zarith Sofiah.
Mengakhiri titah, Raja Zarith Sofiah mengingatkan graduan supaya mengamalkan ilmu yang dipelajari demi manfaat masyarakat, sambil memetik kata-kata Imam al-Ghazali bahawa ilmu tanpa amal tidak membawa sebarang nilai.
Baginda turut merakamkan penghargaan kepada University of Reading Malaysia atas penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Psikologi serta mengucapkan tahniah kepada semua graduan yang berjaya menamatkan pengajian mereka. – UTUSAN
The post Stigma punca ramai derita masalah mental sendirian appeared first on Utusan Malaysia.
