
LARUT – Datuk Seri Anwar Ibrahim terus menegaskan kepentingan siasatan kes kematian pelajar sekolah agama, Zara Qairina Mahathir, 13, tanpa mempedulikan siapa yang terlibat.
Perdana Menteri memberi jaminan tentang isu tersebut, namun menyatakan perkara itu tidak perlu diperdebatkan termasuk membuat tuduhan liar.
“Seorang budak meninggal dunia, maki hamun semua orang. Anak VIP (orang kenamaan), cucu Tuan Yang Terutama (TYT).
“Saya kata kepada polis untuk siasat. Saya sudah beritahu, tidak peduli siapa,” katanya semasa berucap ketika mengunjungi kompleks tenusu syarikat Farm Fresh sempena Karnival Usahawan Tenusu Madani di sini hari ini.
Kata Perdana Menteri, masyarakat tidak perlu mengambil sikap untuk bergaduh tentang apa jua perkara.
Anwar sebelum ini memberi jaminan siasatan kematian pelajar sekolah agama itu akan dilakukan secara telus dan melangkaui sempadan politik dengan beliau sendiri mengikuti rapat kes berkenaan serta sentiasa mendapatkan perkembangan semasa. – KOSMO! ONLINE
The post Tidak peduli siapa, siasat kematian Zara Qairina – PM appeared first on Kosmo Digital.