Auto Added by WPeMatico

SHAH ALAM – Penerjun Wilayah Persekutuan, Yong Rui Jie menebus kekecewaan sekadar meraih perak dua tahun lalu apabila mengungguli acara 3 meter (m) papan anjal lelaki pada Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026 di Pusat Akuatik Darul Ehsan, hari ini.
Rui Jie yang membuat penampilan ketiga dan terakhir di pentas Sukma mempamerkan aksi cemerlang untuk mengumpul 391.85 mata, sekali gus memastikan pingat emas yang menjadi buruannya kali ini berjaya direalisasikan.
“Memang saya sasarkan pingat emas kali ini, jadi ini satu penebusan buat saya. Saya sangat gembira kerana dapat memenangi emas pertama dalam acara terjun untuk Kuala Lumpur,” katanya.

Pingat perak menjadi milik penerjun Selangor, Muhammad Haris Mohd Rezal (387.45) manakala juara Sukma Sarawak 2024 dari Sarawak, Elvis Priestly Clement terpaksa berpuas hati dengan gangsa (368.30).
Kemenangan itu lebih istimewa buat Rui Jie kerana diraih di venue yang pernah menjadi tempatnya menjalani latihan sejak berusia sekitar 10 tahun, sekali gus memberikan kepuasan tersendiri selepas segala pengorbanan sepanjang kariernya.
Emas tersebut juga menjadi tonik terbaik buat penerjun negara itu sebelum beralih kepada cabaran lebih besar apabila bakal membuat penampilan sulung pada Sukan Asia di Aichi-Nagoya Jepun bulan depan. KOSMO! ONLINE
The post Sukma 2026: Rui Jie tebus kecewa dengan emas appeared first on Kosmo Digital.
