Auto Added by WPeMatico

LONDON – Impian Novak Djokovic untuk terus mencipta sejarah di pentas Wimbledon tidak kesampaian apabila tewas straight set kepada Jannik Sinner dalam aksi separuh akhir awal pagi tadi.
Pada usia 38 tahun, Djokovic mengakui faktor usia dan tubuh badan semakin jelas membatasi keupayaannya untuk bersaing di tahap tertinggi terutama apabila berdepan lawan muda seperti Sinner yang 15 tahun lebih muda.
Bintang tenis Serbia yang juga pemenang gelaran Grand Salam ke-24 tersebut akur dengan kekalahan selepas gagal menyekat kebangkitan lawan berusia 24 tahun itu sebelum tumpas 3-6, 3-6, 4-6.
“Ia tentang usia, kekuatan fizikal. Walaupun saya menjaga badan dengan baik, realitinya sudah mula terasa sejak satu setengah tahun lalu.
“Saya masuk ke gelanggang dengan tenaga yang separa penuh dan itu tidak mencukupi untuk menang perlawanan seperti ini,” katanya.
Djokovic kelihatan bergelut dengan prestasi serta ketahanan fizikal, namun enggan menjadikan kekalahan tersebut sebagai alasan.
“Sejujurnya, ia bukan satu perasaan yang menyenangkan di gelanggang. Saya tidak mahu mengulas panjang mengenai kecederaan atau merungut tentang kegagalan memberikan aksi terbaik.
“Tetapi saya ingin ucapkan tahniah kepada Jannik. Dia bermain sangat baik dan layak ke final. Dia terlalu kuat,” katanya.
Kali terakhir Djokovic menjulang gelaran Grand Slam adalah pada 2023 apabila memenangi Terbuka Australia, Roland Garros dan Terbuka Amerika Syarikat.
Sejak itu, hanya satu kejayaan diraih iaitu gelaran Terbuka Geneva serta pingat emas Sukan Olimpik Paris 2024. – AGENSI
The post Djokovic terus kempunan Grand Slam appeared first on Kosmo Digital.