Auto Added by WPeMatico

![]()
WASHINGTON – Seorang pemanggil tidak dikenali membuat ugutan untuk meletupkan sebuah pesawat United Airlines ketika ia mendarat di Lapangan Terbang Nasional Reagan Washington, Virginia pagi semalam, lapor akhbar New York Post.
Pemanggil berkenaan mendakwa, pesawat yang dinaiki 89 orang termasuk juruterbang itu akan diletupkan melainkan pengawal trafik udara menyerahkan pampasan sebanyak AS$500,000 (RM2.09 juta) dalam bentuk mata wang kripto.
Semua penerbangan di lapangan terbang sibuk itu telah digantung selepas ancaman bom dibuat terhadap Penerbangan United 512, yang ketika itu baru sahaja mendarat dari Houston , demikian menurut sumber penguat kuasa undang-undang.
Pesawat tersebut mendarat sekitar pukul 11.30 pagi (waktu tempatan) dan telah dialihkan ke landasan bersebelahan, jauh dari terminal. Ia sebagai tindak balas terhadap ancaman keselamatan, demikian menurut kenyataan pihak berkuasa lapangan terbang menerusi platform X.
Semua 89 penumpang segera dikeluarkan dari pesawat ketika kenderaan kecemasan memenuhi landasan di luar kawasan Washington, DC.
Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dalam satu kenyataan berasingan menyatakan bahawa tiada sebarang ancaman ditemui di lokasi kejadian.
Menurut pihak lapangan terbang, Polis Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Metropolitan Washington, Pejabat Medan FBI Washington dan beberapa agensi penguat kuasa undang-undang lain sedang menyiasat ancaman itu. – AGENSI
The post Pemanggil misteri buat ancaman bom palsu appeared first on Kosmo Digital.