Auto Added by WPeMatico

IPOH – Keluarga Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin mengharapkan ada wakil mereka dalam jawatankuasa siasatan bagi menyiasat kematian pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu.
Ibu mangsa, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, mahu peguam yang mewakili keluarganya, Datuk Naran Singh menyertai jawatankuasa tersebut bagi merungkai punca kematian anak sulungnya, Syamsul Haris yang meninggal dunia ketika menjalani latihan Palapes di Johor pada 28 Julai lalu.
“Saya mahu peguam kami turut dilantik dalam jawatankuasa ini supaya siasatan dijalankan secara telus bagi membela nasib mangsa dan keluarga kami,” katanya kepada Kosmo!, di sini hari ini.
Sebelum itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengumumkan penubuhan jawatankuasa tersebut yang dianggotai oleh tiga agensi iaitu Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri serta Kementerian Pengajian Tinggi.
Pihak polis semalam mengesahkan tiada kecederaan berunsur jenayah dikesan sehingga menyebabkan kematian
Ummu Haiman Bee bagaimanapun berkata, dia tetap mengesyaki berlaku unsur jenayah berdasarkan pemerhatian beliau terhadap jenazah anaknya.
“Saya yakin ada unsur jenayah berdasarkan ciri-ciri kecederaan pada tubuh anak saya,” katanya.
Sementara itu ketika dihubungi, Naran Singh setuju jika dapat mewakili keluarga itu dalam jawatankuasa siasatan yang diumumkan oleh Menteri Pertahanan.
Katanya, beliau sendiri mempunyai pengalaman dalam bidang perubatan sebelum menjadi pengamal undang-undang dan percaya proses siasatan mencari punca kematian Syamsul Haris masih dilakukan berdasarkan laporan berita tentang kes ini. – KOSMO! ONLINE
The post Keluarga mahu ada wakil dalam jawatankuasa siasat kematian pelatih Palapes appeared first on Kosmo Digital.