Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Dua rakyat Malaysia terkesan dalam bencana melibatkan sebuah bangunan runtuh di bandar Angeles, utara ibu negara Manila, Filipina.
Kementerian Luar dalam kenyataannya memaklumkan, seorang mangsa disahkan selamat, manakala pihak kementerian kini sedang giat mengenal pasti status seorang lagi warga Malaysia yang berkenaan.
“Kedutaan Besar Malaysia di Manila sedang giat mengumpul maklumat sahih menerusi pihak berkuasa tempatan yang berkaitan bagi mengenal pasti keadaan sebenar di lapangan.
“Pihak Kedutaan sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan bagi memantau keadaan warganegara yang selamat serta mengesahkan status dan keberadaan seorang lagi rakyat Malaysia yang terlibat,” menurut Kementerian Luar hari ini.
Dalam pada itu, segala usaha sewajarnya sedang diambil bagi mengesan dan menghubungi waris kepada kedua-dua individu berkenaan.
“Kementerian Luar akan terus menyalurkan maklumat lanjut seiring dengan perkembangan situasi dan setelah maklumat sahih diperolehi,” katanya.
Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular segera atau mempunyai maklumat mengenai rakyat Malaysia lain yang mungkin berada di kawasan terjejas diminta menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Manila menerusi talian umum +63 286628200, nombor kecemasan (selepas waktu pejabat) +63 961 0778113 atau e-mel di mwmanila@kln.gov.my.
Sementara itu, pihak kementerian turut menzahirkan rasa simpati kepada semua pihak yang terkesan susulan insiden ini.
“Kementerian Luar sedang memantau dengan teliti perkembangan situasi berhubung kejadian. Operasi menyelamat sedang giat dijalankan bagi mengesan individu-individu yang dikhuatiri terperangkap,” kata Kementerian Luar.
Terdahulu media antarabangsa melaporkan, seramai 26 individu berjaya diselamatkan selepas sebuah bangunan sembilan tingkat yang sedang dalam pembinaan runtuh di Bandar Angeles. – KOSMO! ONLINE
The post Bangunan runtuh di Filipina: Dua rakyat Malaysia terkesan appeared first on Kosmo Digital.
