Auto Added by WPeMatico

TANJUNG MALIM – Semua 42 keluarga pelajar yang terbabit dalam insiden kemalangan di Gerik pada 9 Jun lalu menerima sumbangan bernilai RM420,000 dari Universiti Pendidikan Sultan Idris di Tok Aman Bali Beach Resort, Pasir Puteh, Kelantan semalam.
Setiap waris mangsa pelajar yang meninggal dunia dan cedera masing-masing menerima RM10,000 pada majlis itu.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata, majlis penyerahan sumbangan menerusi Tabung UPSI Prihatin Gerik itu dihadiri lebih 100 ahli keluarga, pelajar dan waris mangsa.
“Diharapkan sumbangan bagi pihak UPSI ini diharap sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung, di samping memberi semangat kepada pelajar untuk terus menuntut ilmu walaupun berdepan ujian kecederaan.
“Penyerahan ini adalah bukti keprihatinan seluruh warga UPSI terhadap pelajar dan keluarga yang terkesan dengan tragedi berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Majlis penyerahan sumbangan itu dihadiri seramai 123 wakil daripada 36 keluarga dan pelajar.
Beliau berkata, penyerahan bantuan itu antara sumbangan berterusan kepada keluarga mangsa, malah sebelum ini sebanyak RM1.7 juta disumbangkan hasil sumbangan pelbagai pihak.
Tabung UPSI Prihatin Gerik diwujudkan bagi mengumpul dana khas untuk membantu mangsa dan waris tragedi berkenaan sebagai simbol solidariti universiti dan komuniti terhadap keluarga pelajar yang menjadi mangsa kemalangan tragik dan menyayat hati seluruh rakyat Malaysia itu. – KOSMO! ONLINE
The post UPSI serah RM420,000 kepada waris pelajar terlibat kemalangan di Gerik appeared first on Kosmo Digital.