Auto Added by WPeMatico

![]()
MELAKA – Seorang lelaki Rohingya pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) terpaksa pulang berjalan kaki apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah Toyota Vellfire dipandunya disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka, kelmarin.
Pengarah JPJ Melaka, Siti Zarina Mohd. Yusop berkata, Toyota Vellfire tersebut merupakan antara tujuh kenderaan mewah yang disita atas pelbagai kesalahan dalam operasi penguatkuasaan itu.
“Kenderaan itu ditahan selepas pemeriksaan mendapati pemandunya tidak memiliki lesen memandu yang sah.
“Pemandu tersebut juga merupakan lelaki Rohingya yang juga pemegang kad UNHCR,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan semalam.
Dalam operasi tersebut, antara kesalahan dikesan termasuk tiada lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh selain tidak memiliki perlindungan insurans.
“Kami ingin menegaskan bahawa pemilikan kenderaan mewah bukan ‘pasport kebal’ untuk melanggar undang-undang jalan raya.
“Sama ada memandu motosikal biasa atau Vellfire mewah, undang-undang tetap sama untuk semua dan kita akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan undang-undang dipatuhi tanpa kompromi,” ujarnya.
Katanya, tindakan sitaan kenderaan terlibat dibuat mengikut peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.-KOSMO! ONLINE.
The post Lagak macam ‘Datuk’, Vellfire dipandu lelaki Rohingya disita appeared first on Kosmo Digital.
