Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima lima laporan berhubung kenyataan yang dibuat oleh Presiden Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (UMANY), Tang Yi Ze baru-baru ini.
Kenyataan tersebut sebelum ini menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memansuhkan program matrikulasi dan menjadikan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebagai piawaian tunggal kemasukan ke universiti awam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, kenyataan itu didapati berpotensi mewujudkan persepsi negatif terhadap sistem pendidikan negara.
Beliau berkata, kenyataan tersebut sekali gus boleh mencetuskan ketidakpuasan hati masyarakat serta kegentaran awam.
“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Satu laporan diterima pada 12 September lalu. Sehingga kini, sebanyak empat lagi laporan polis diterima berkaitan perkara sama daripada pihak yang tidak berpuas hati dengan kenyataan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
M Kumar berkata Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan memperuntukkan kesalahan mengeluarkan kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan atau mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.
Sementara itu, katanya, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 pula memperuntukkan kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
“PDRM menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dalam menangani sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.
“Orang ramai juga dinasihatkan agar sentiasa berhemah serta bertanggungjawab dalam mengeluarkan sebarang kenyataan, sama ada di ruang awam mahupun di media sosial,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Polis siasat kenyataan UMANY desak mansuh matrikulasi appeared first on Kosmo Digital.