Auto Added by WPeMatico

![]()
Saudara pengarang,
Baru-baru ini Kosmo! melaporkan mengenai skim kemudahan pembayaran ‘Beli Sekarang, Bayar Kemudian’ (BNPL) yang menjadi antara punca seramai 3,876 belia diisytiharkan bankrap kerana mempunyai hutang tertunggak melebihi RM100,000 selain pinjaman peribadi.
Menurut data Jabatan Insovensi Malaysia, golongan belia seawal usia 20 tahun mewakili 14.48 peratus daripada keseluruhan 26,782 individu yang diisytiharkan muflis dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.
Satu angka yang cukup membimbangkan. Media sosial dan gaya hidup mewah seperti percutian dan pembelian barang berjenama mempengaruhi orang muda untuk berbelanja melebihi kemampuan sehingga terjebak BNPL dan pinjaman peribadi.
Persoalannya sejauh mana BNPL memberi kesan kepada pengurusan kewangan golongan muda? Tepuk dada tanya selera.
Secara peribadi, saya tidak melihat BNPL sebagai satu instrumen kewangan yang memudaratkan selagi ia digunakan ke jalan yang betul. Malah dalam keadaan tertentu BNPL menjadi ‘penyelamat’ kepada seseorang individu.
Misalnya ada ketua keluarga yang bergantung kepada BNPL untuk membeli barangan keperluan seperti susu anak pada hujung bulan.
Mereka ini hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Mungkin ada yang sumber rezeki bergantung kepada permintaan atau hasil jualan harian. Jadi BNPL menjadi ‘talian hayat’ untuk mereka meneruskan hidup.
Ia menjadi pilihan baik berbanding berhutang dengan ceti haram yang menetapkan faedah tinggi. Itu belum lagi ancaman jenayah sekiranya hutang tidak dijelaskan pada waktu ditetapkan. Yang saya mahu tekankan adalah sikap disiplin dalam menguruskan hutang.
Gunakan kemudahan BNPL ini untuk perkara penting misalnya ketika kecemasan atau membeli barangan yang betul-betul diperlukan, bukannya kehendak apatah lagi dengan niat hanya untuk berseronok atau berasa ketinggalan sekiranya tidak memiliki sesuatu barangan tersebut.
Gunakan kemudahan ini secara berhemah. Ukur baju di badan sendiri, BNPL tidak bersalah.
Adeebah
Alor setar
The post BNPL tak salah, peminjam yang tak bijak appeared first on Kosmo Digital.
