Auto Added by WPeMatico

![]()
PASIR PUTEH – Seorang ibu kini buntu kerana tidak mampu menyediakan RM2,000 sebulan untuk membeli susu khas buat bayinya berusia enam bulan yang menghidap sindrom Treacher Collins (TCS) sejak lahir.
Nur Azlina Bohore, 29, berkata, dia mula berasa tidak keruan setiap kali susu khas yang diberikan kepada Hayyan Rifqi Abdul Hanif hampir kosong di dalam tin.
Hayyan Rifqi meminum susu melalui tiub setiap tiga jam selain beberapa jenis susu lain dan sumber nutrisi khas seperti Carborie, Infatrini, ActivMax, Dupro dan minyak MCT mengikut sukatan tertentu.
“Kos susu formula sahaja mencecah RM2,000 sebulan. Jumlah itu tidak termasuk pembelian tiub trakeostomi, tiub sedutan dan pelbagai peralatan perubatan lain. Tiub trakeostomi yang berharga RM385 pula perlu diganti secara berkala.
“Pakar turut mencadangkan penggunaan alat bantu pendengaran jenis Bone Conduction Adhear berharga lebih RM7,000 bagi membantu perkembangan pendengaran dan pertuturan anak saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Besar di sini baru-baru ini.
Nur Azlina berkata, anaknya yang dilahirkan dengan berat 2.3 kilogram (kg) kini hanya memiliki berat 3.9 kg sekali gus melambatkan proses pembedahan rekahan lelangit.
Hayyan Rifqi memerlukan penjagaan rapi sepanjang masa menyebabkan Nur Azlina tidak dapat bekerja kerana perlu berulang-alik ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian dan Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu sekurang-kurangnya tiga kali seminggu bagi tujuan rawatan susulan.
Suaminya, Abdul Hanif Abdul Ghani, 35, pula bekerja kampung dengan pendapatan RM900 sebulan selain menanggung tiga anak lain yang berusia lima hingga sembilan tahun.
“Saya turut memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan,” katanya
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menghubungi Nor Azlina di talian 017-971 7739 atau menyalurkan ke akaun CIMB wanita itu yang bernombor 7053905497.
The post ‘Saya buntu setiap kali tin susu hampir kosong’ appeared first on Kosmo Digital.
