Auto Added by WPeMatico

IPOH – Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Biro Jenayah Hidupan Liar) Bukit Aman, Mohammad Azlin Sadari hari ini secara rasmi menerima tugas sebagai Timbalan Ketua Polis Perak dengan memangku pangkat Deputi Komisioner.
Mohammad Azlin, 52, menggantikan Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat yang bersara wajib pada 23 Jun depan.
Majlis serah terima tugas di antara Zulkafli dan Mohammad Azlin itu disaksikan Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin di Mes Pegawai Kanan Polis Perak, di sini hari ini.
Terdahulu, di Dataran Perhimpunan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, Zulkafli, 60, dan isteri, Zaleta Ibrahim diraikan dalam Majlis Paluan Berundur yang dihadiri pegawai kanan, pengurusan tertinggi termasuk anggota polis.
Perbarisan kawalan kehormatan melibatkan 51 pegawai rendah polis serta dua pegawai itu dipimpin oleh Pegawai Baris, Asisten Superintenden Muhammad Nursyahir Saharuddin.
Zulkafli yang mula berkhidmat ketika berusia 21 tahun pada 15 Januari 1986 itu kemudiannya diberikan penghormatan menaiki kenderaan rasmi bersama isteri sebelum meninggalkan majlis. – KOSMO! ONLINE
The post Mohammad Azlin galas tanggungjawab Timbalan Ketua Polis Perak baharu appeared first on Kosmo Digital.