Auto Added by WPeMatico

JENAMA Senario antara pembuktian paling konkrit bahawa pelawak itu bukan sahaja melahirkan lelucon semata-mata, tetapi disadur dengan elemen seni yang lain termasuk nyanyian, lakonan dan juga skil berkomunikasi dengan peminat.
Perkara tersebut dilaksanakan dengan cemerlang pada konsert The Last Kopek Senariounion 30 Tahun di Idea Live, baru-baru ini.
Penulis antara peminat yang membesar dengan jenaka Senario sejak tiga dasawarsa lalu. Meski mereka punya ‘sedu-sedan’ dalam perjalanan meredah perjalanan seni, tiada secebis penafian bahawa kumpulan itu antara pelopor dunia komedi yang sangat memberi dampak.
Ketika hayat seni kian matang, Azlee mewakili rakan-rakan yang lain berharap agar persaudaraan antara mereka akan terus terjalin demi para peminat yang tidak henti-henti memberi sokongan.
“Kita harap, Allah terus merahmati kami supaya kami dapat bersatu. Kita tengok banyak kumpulan yang berpecah, kami cuma harap Senario dapat bertahan.
“Tapi terlalu awal untuk bercakap tentang perkara itu. Allah yang menentukan. Harapnya silaturahim yang kita bina selama tiga puluh tahun akan kukuh,” katanya kepada HibGlam usai melunaskan persembahan tersebut.
Senario yang kini setia dianggotai Azlee, Lan Pet Pet, Wahid, Ilya, Saiful Apek dan Yassin menggamatkan pentas dengan deretan 20 buah lagu termasuklah hit malar segar seperti Kerja Baik Kerja Jahat, Ceti oh Ceti, Cepat Kaya, Moto Kapcai dan Cinta Berkarat.
Di satu sudut antara paling belakang, penulis tidak mengendahkan orang kiri kanan depan dan belakang. Kalau ingin tertawa terbahak-bahak, itulah yang berlaku.
Macam konsert ‘indie’
Jika ingin melompat-lompat kegirangan bagai berada dalam konsert metal atau indie, penulis juga tidak teragak-agak untuk berbuat demikian. Itulah penangan Senario kepada diri. Jika ada yang fikir terdapat seorang lelaki seperti hilang pedoman sepanjang konsert Senario, itulah penulis, dan fakta tersebut tidak perlu dinafikan.
Seperti apa yang diungkapkan para perenggan pertama, Senario bukan hanya berlawak di atas pentas. Mereka menguasai cabang seni lain termasuk lakonan, nyanyian dan sketsa.
Lawak yang dipersembahkan tidak semestinya ditujukan kepada seseorang, sebaliknya boleh menjadi kiasan sebagai renungan bersama.
“Lagu-lagu Senario berkonsepkan rakyat, yang bermesej. Ada pengajaran di situ.
“Tapi kalau nak cakap lawak kami 100 peratus baik, tidaklah. Kadangkala terbabas juga.
“Cuma kita perlu mengawal keadaan itu supaya tidak berlaku zalim kepada orang lain.Kami tidaklah sampai meletakkan penonton ‘bahan’ jenaka kami,” katanya.
Kemunculan anak Allahyarham Hamdan senario, Muhammad Zeyreen Misha, 33, yang menyanyikan lagu Kasihnya Ayah bersama Senario antara yang mencuri tumpuan.
Azlee menyifatkan Allahyarham sebagai insan istimewa yang banyak berjasa kepada industri hiburan tanah air.
“Banyak kenangan manis bersama arwah, antaranya ketika kami sama-sama menjayakan sitkom televisyen. Bergandingan dengan arwah memang tak dapat kami lupakan.
“Lagu Kasihnya Ayah itu dipopularkan kumpulan Serba Salah yang dianggotai arwah bersama Wahid dan Ilya. Kami bawakan bertujuh di konsert ini sebagai penghargaan.
“Kami sudah kehilangan anggota, tapi kami tak pernah melupakan keluarganya, jadi kami panggil,” ujarnya.

Mungkin konsert lagi
Senario turut menyampaikan trofi Anugerah Bintang Popular (ABP37) yang dimenangi mereka kepada Muhammad Zeyreen sebagai tanda kenang-kenangan.
Selain itu, kemunculan Aina Abdul juga mencuri perhatian apabila menyampaikan Zapin Usik Mengusik dan Zapin Cinta SMS.
“Aina Abdul merupakan pilihan yang tepat, pada saya Aina telah memberikan persembahan yang terbaik. Kami berlatih dua kali dan segalanya menjadi sejarah kami,” ujarnya lagi.
Azlee dalam masa yang sama meluahkan rasa gembira kerana setelah beberapa bulan berlatih, akhirnya Senario berpeluang berkumpul demi peminat.
“Terbukti dengan jumlah penonton yang begitu ramai sekali, dalam usia ini, kami mampu menyanyi lagi. Kami gembira kerana konsert 30 tahun ini menghiburkan peminat yang hadir.
“Kalau diizinkan-Nya dan keadaan kami sihat. Kalau ada penganjur yang berminat, kami pertimbangkankan. Kami akan bincangkan, mungkin akan adakan konsert 2.0, kita tak pasti perkara itu,” ungkapnya.
The post ‘Tidaklah lawak kami 100 peratus baik, kadangkala terbabas juga’ appeared first on Kosmo Digital.
