Auto Added by WPeMatico
Agong selamat tiba di Arab Saudi

![]()
PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim selamat tiba di Terminal Diraja, Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid, Riyadh hari ini pada pukul 12.30 tengah hari waktu tempatan Arab Saudi.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda disambut Putera Mohammed Abdulrahman Abdulaziz Al-Saud, Timbalan Gabenor Riyadh dan Putera Faisal Abdulaziz bin Ayyaf, Datuk Bandar Riyadh.
Turut berangkat sama mengiringi Yang di-Pertuan Agong pada lawatan negara kali ini ialah Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor dan Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor.
Hadir sama, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pertahanan yang juga berperanan selaku Menteri Pengiring bagi lawatan ini, Datuk Seri Amran Mohamed Zin, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri; Datuk Syed Bakri Syed Abdul Rahman, Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi; Ikram Mohd Ibrahim, Ketua Protokol KLN; Datuk Rozainor Ramli, Ketua Pegawai Istiadat dan Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini, Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara.
Kali terakhir lawatan negara oleh Yang di-Pertuan Agong ke Arab Saudi berlangsung pada tahun 1984 oleh Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.
Hubungan diplomatik Malaysia dan Arab Saudi terjalin kukuh sejak 68 tahun lalu, dengan kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, geopolitik dan hal ehwal agama Islam. – KOSMO! ONLINE
The post Agong selamat tiba di Arab Saudi appeared first on Kosmo Digital.