Auto Added by WPeMatico

JOHOR BAHRU – Seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) yang bertindak nekad terjun sungai sedalam lebih 10 kaki untuk melarikan diri daripada serbuan di sebuah tapak pembinaan di Taman Suria, di sini semalam cedera patah kaki kiri.
Warga Bangladesh berusia 30-an itu merupakan sebahagian daripada puluhan PATI yang bertindak sedemikian semasa operasi dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor.
Semasa serbuan dijalankan, puluhan PATI melarikan diri dengan sebahagian mereka terjun sungai dan menyeberang jalan raya sesak sehingga membahayakan keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain.
Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd. Rusdi Mohd. Darus berkata, pihaknya memeriksa seramai 215 warga asing dan pekerja tempatan dalam Op Mahir yang dijalankan bermula pukul 10.30 itu.
“Daripada jumlah tersebut, kita telah menahan 189 daripada mereka yang dipercayai tidak mempunyai permit sah untuk bekerja dan berada di negara ini.
“Seramai 165 daripada mereka merupakan warga Bangladesh, manakala 18 warga Myanmar serta sembilan lagi merupakan warga Indonesia,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di lokasi serbuan, di sini hari ini.
Tambah Mohd. Rusdi, kesemua PATI yang ditahan akan dibawa ke JIM Johor di Taman Setia Tropika untuk pemeriksaan lanjut sebelum ditempatkan di Depoh Tahanan Imigresen Pekan Nanas. – KOSMO! ONLINE
The post Lelaki Bangladesh patah kaki, terjun sungai elak dicekup appeared first on Kosmo Digital.