Auto Added by WPeMatico

![]()
KAJANG – Kehadiran jurulatih nyata memberikan ‘tenaga tambahan’ buat atlet angkat berat Terengganu, Nur Alissa Sofea Mohamad Nor Wardi yang memenangi pingat emas kategori 86 kilogram (kg) Sukan Malaysia (Sukma), hari ini.
Dua tahun lalu, jurulatihnya, Muhammad Amirul Hisham tidak dapat bersama-sama Nur Alissa ke Sarawak apabila disahkan mengidap kanser limfoma, sebulan sebelum kejohanan bermula.
Bagaimanapun, aturan pada edisi kali ini nyata berpihak kepada Nur Alissa apabila Muhammad Amirul disahkan bebas daripada kanser, juga sebulan sebelum penganjuran Sukma 2026 bermula.
“Saya ikut program yang jurulatih beri, selepas latihan, saya sambung buat latihan untuk bina otot. Makan pun saya lebihkan protein, kalau makan, saya kurangkan nasi dan lebihkan ayam, telur dan perbanyakan sayur.
“Saya percaya kata-kata jurulatih, kalau jurulatih kata boleh, saya pun percaya saya mampu melakukannya. Saya nak balas balik jasa jurulatih saya yang sudah banyak membantu saya.
“Sebelum ini (edisi Sarawak) saya tidak tahu jurulatih boleh pergi atau tidak namun kali ini sah dia ada bersama saya,” katanya.
Sepanjang tempoh dua tahun, Muhammad Amirul terpaksa memohon bantuan daripada jurulatih lain untuk ‘menjaga’ Nur Alissa mengikut program yang sudah diatur.
Mengulas lanjut, Nur Alissa mengakui tercabar dengan kejayaan adiknya, Nur Arissya Nadia yang meraih pingat perak dalam acara 48kg, Ahad lalu.
“Saya rasa tercabarlah dengan adik. Adik dapat perak, saya kena emaslah,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Sukma 2026: Jurulatih kalahkan kanser, Nur Alissa julang emas appeared first on Kosmo Digital.
