Auto Added by WPeMatico

MUAR – Cermin kereta Perodua Axia di sebelah pemandu dan penumpang hadapan milik pempengaruh permotoran, Ija Nizaruddin didapati terbuka ketika ditemui di dalam sungai Kampung Tui di kawasan kebun sawit, Bukit Kepong di sini petang semalam.
Menurut Ketua Bomba Zon 4, Penguasa Kanan Bomba II Nor Shuhada Amsari, kereta yang dipandu mangsa dibawa naik kira-kira pukul 3 petang semalam.
Jelasnya, pencarian mangsa, Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, 38 atau lebih dikenali sebagai Ija Nizaruddin masih diteruskan sehingga lewat malam tadi.
“Pagi ini pihak polis, bomba serta agensi yang terlibat meneruskan pencarian mencari keberadaan mangsa. Semalam, Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) bomba telah melakukan selaman sehingga pukul 7.45 malam bagi mencari mangsa di dalam sungai.
“Pihak polis turut membawa anjing pengesan dari Unit K9 dari Johor Bahru yang tiba pada pukul 11 malam bagi membantu pencarian di darat sehingga pukul 1 pagi tadi,”katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Nor Shuhada berkata, ketika kenderaan mangsa dibawa naik, pasukan penyelamat tidak menjumpai barang peribadi mangsa termasuk telefon atau dompetnya kecuali topi milik anaknya.
Semalam, Kosmo! melaporkan kehilangan pempengaruh permotoran, Ija Nizaruddin sejak Isnin dan penemuan sebuah kereta Perodua Axia berwarna putih disahkan dipandu mangsa dari Johor Bahru di mana lokasi terakhir mangsa di kesan adalah di kawasan Bukit Kepong namun mangsa masih gagal dikesan sehingga kini.-KOSMO! ONLINE
The post Axia terjunam: Cermin kereta terbuka, tiada barang peribadi Ija ditemui appeared first on Kosmo Digital.