Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Tindakan dua lelaki warga asing bergaduh di tepi jalan membawa padah apabila kedua-duanya diberkas polis selepas dipercayai terbabit dalam kes gaduh gempar serta menyamar sebagai penjawat awam.
Kejadian kira-kira pukul 1.15 petang semalam itu berlaku di Jalan Dinar, Taman Subang Perdana, Kampung Baru Subang, di sini.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd. Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung insiden tersebut menerusi panggilan MERS 999.
“Bertindak atas maklumat, pasukan peronda polis dihantar ke lokasi kejadian sebelum menahan dua lelaki berusia 26 dan 32 tahun yang merupakan warga asing.
“Apa yang mengejutkan, ketika proses penahanan dijalankan, salah seorang suspek dikesan berada dalam sebuah kenderaan dalam keadaan bergari, seolah-olah menyamar sebagai anggota penguat kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pihak polis turut merampas beberapa barangan yang mencurigakan di lokasi kejadian iaitu sepasang gari dan dua buah kereta Perodua Myvi dan suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh untuk tindakan lanjut.
Susulan itu, katanya, pihaknya telah membuka kertas siasatan mengikut empat undang-undang berasingan iaitu Seksyen 160 Kanun Keseksaan, Seksyen 170 Kanun Keseksaan, Seksyen 89 Akta Polis 1967 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Sebarang maklumat lanjut berhubung kejadian boleh disalurkan dengan hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi Hotline Balai Polis Kampung Baru Subang di talian 03-7846 2322 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Ekmal Hasif Mohd. Noor di talian 011-3539 6787. – KOSMO! ONLINE
The post Dua warga asing ditahan lepas gaduh, menyamar penjawat awam appeared first on Kosmo Digital.