Auto Added by WPeMatico

GUA MUSANG – Hujan lebat berterusan sejak petang tadi menyebabkan lebih 50 buah rumah di tanah rancangan Felda Chiku 1 dan Felda Chiku 2 di sini terjejas banjir kilat.
Air mula memasuki kawasan rumah penduduk susulan hujan lebat bermula kira-kira pukul 5 petang tadi
Seorang penduduk, Muhammad Hazim Mohd. Bakri, 25, berkata, hujan lebat lebih satu jam menyebabkan beberapa rumah di Felda Chiku 2 dinaiki air.
“Ini merupakan kejadian banjir kilat kali kedua berlaku di Felda Chiku 2 yang membabitkan ramai penduduk. Beberapa bulan lalu keadaan banjir kilat tidak seteruk ini.
“Felda Chiku 2 sering dilanda banjir kilat sejak projek pembinaan Lingkaran Tengah Utama (LTU) dijalankan di kawasan ini,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Razali Daud, 73, pula berkata, dia terkejut apabila air banjir mula memenuhi ruang dapur rumahnya kira-kira pukul 6.30 petang.
“Ini kejadian pertama sejak saya tinggal di kawasan ini. Air naik dengan cepat terutamanya di bahagian dapur rumah.
“Kebiasaannya, air tidak pernah masuk ke dalam rumah walaupun hujan lebat dalam tempoh yang lama. Hujan ketika ini masih turun dan paras air masih belum surut,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Lebih 50 rumah di Felda Chiku terjejas banjir kilat appeared first on Kosmo Digital.