Auto Added by WPeMatico

![]()
SHAH ALAM – Isu pengurusan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) memasuki fasa baharu apabila laporan awal siasatan mengenainya dijangka siap minggu depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, laporan berkenaan akan memberi gambaran awal mengenai pengurusan Felda termasuk sekiranya sebarang salah laku yang dikesan.
“Minggu depan bermula laporan awal tentang Felda. Oh itu dendam, apa dendam? Salah guna kuasa apa?” katanya ketika berucap pada Majlis Hi-tea Sekretariat Reunion Reformis di sini hari ini.
Menurut beliau, siasatan itu perlu dilakukan memandangkan kerajaan terpaksa membelanjakan sehingga RM980 juta setiap tahun bagi menampung kerugian Felda.
“Saya bertanggungjawab terhadap Felda, setiap tahun kita (kerajaan) bayar RM980 juta untuk menampung kerugian. Baru-baru ini rumah-rumah teruk, robek, berpuluh tahun tak dikendali, tak dikawal.
“Saya boleh kata, itu silap dulu, pengurusan dahulu. Kamu sokong, tanggunglah rumah kamu. Tetapi saya tak sampai begitu kerana bukan salah dia (peneroka), maka saya terpaksa luluskan RM450 juta untuk baiki semua rumah-rumah di seluruh negara,” katanya.
Justeru, beliau menegaskan mana-mana individu yang terlibat dalam sebarang salah laku dalam Felda tidak wajar dilepaskan daripada tindakan.
“Saya tidak akan menentukan siapa yang akan disiasat, didakwa dan dihukum. Itu adalah prinsip yang harus kita gunakan,” katanya.
Beliau berkata, pendirian kerajaan terhadap usaha membanteras rasuah dan salah guna kuasa adalah tegas, termasuk dalam kes membabitkan Lembaga Tabung Haji (TH).
“Seorang penguat kuasa di bandaran mengambil RM2,000, dapat kau ditangkap, mesti didakwa dan dipenjara. Pendirian Kerajaan Madani dari awal tegas membanteras rasuah.
“Kes Tabung Haji yang mahu dipadamkan, kita bongkar semula dan minta dikuat kuasa. Itu rompakan, sakau,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Anwar akan menunggu laporan lengkap Pasukan Petugas Khas yang menyiasat isu pengurusan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) sebelum membuat sebarang pengumuman rasmi. – KOSMO! ONLINE
The post Laporan awal siasatan Felda siap minggu depan appeared first on Kosmo Online.
