Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Orang ramai meluahkan rasa lega apabila pantai Teluk Senangin di Lumut, Perak lapang tanpa kerusi-kerusi plastik dan pelampung sewa.
Pemandangan pantai yang lapang itu susulan operasi menyita kerusi ‘haram’ yang dilaksanakan Majlis Perbandaran Manjung (MPM), baru-baru ini.
Menerusi sebuah video yang dikongsi pengunjung di Facebook Page Kepala Berputar, keadaan di Teluk Senangin kini lebih tenang berbanding sebelum ini yang penuh dengan khemah serta kerusi-kerusi untuk disewa.
Tinjauan di ruang komen mendapati, rata-rata pengguna berpuas hati dengan tindakan segera yang diambil oleh MPM dan berharap keadaan itu akan kekal selamanya.
“Maaf cakap, macam inilah bagus, orang yang datang sini bukan semua banyak duit. Nak sewa semuanya, bagus MPM,” kata Yunus.
“Aku pernah kena, kami datang jauh-jauh nak rehat dengan anak-anak. Bentang tikar, tak sampai lima minit datang seorang lelaki marah-marah ini kawasan dia, jika nak duduk juga kena bayar. Aku cukup setuju apa yang MPM buat ini,” kata Shafif.
“Harap kekal lama jangan nanti ada semula. Melampau sangat sebab hampir semua tempat ada ‘tuan’,” kata Suzie.
Terdahulu, tular sebuah video memaparkan sebuah keluarga bingung apabila dihalau oleh seorang individu yang mendakwa kawasan perkelahan keluarga itu merupakan miliknya dan pengunjung itu perlu membayar jika mahu berkelah di situ. – KOSMO! ONLINE
The post Pengunjung lega Teluk Senangin kini lapang appeared first on Kosmo Digital.