Auto Added by WPeMatico

KUALA TERENGGANU – Tentera Darat Malaysia (TDM) akan memberi kerjasama penuh membantu siasatan pegawai kanannya yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terlibat dalam sindiket penyeludupan di selatan tanah air baru-baru ini.
Timbalan Panglima Tentera Darat, Lef. Jeneral Tengku Datuk Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim berkata, TDM tidak akan berkompromi tentang sebarang pengkhiatan tersebut.
Beliau berkata, perbuatan menyalahguna kuasa tersebut bukan sahaja mengkhianati negara, malah mencemarkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Apa yang ditekankan apabila masuk (perkhidmatan) tentera, kita ada ikrar satria yang antaranya menjaga rahsia negara seketat-ketatnya
“Perbuatan itu bukan sahaja memberi imej buruk kepada mereka bahkan organisasi tentera,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Penutup Kursus Asas Pasukan Atur Gerak Cepat (Apac) Siri 2/2025 di sini hari ini.
Tengku Muhammad Fauzi berkata, penglibatan pegawai tentera dalam sindiket penyeludupan tersebut dikhuatiri boleh menyebabkan
kesetiaan dan perkhidmatan ATM terhadap negara diragui masyarakat.
Sehubungan itu, beliau menegaskan semua pihak terlibat biarpun berpangkat tinggi dalam ATM harus dikenakan tindakan mengikut undang-undang awam dan ketenteraan sekiranya benar bersalah.
Terdahulu SPRM pada Khamis lalu dilaporkan berjaya melumpuhkan sindiket penyeludupan didalangi pegawai-pegawai kanan ATM yang beroperasi di selatan tanah air menerusi Ops Sohor. – KOSMO! ONLINE
The post Terlibat sindiket seludup, khianati ikrar satria ATM – Timbalan Panglima TDM appeared first on Kosmo Digital.