Auto Added by WPeMatico

![]()
KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (WARISAN) menafikan dakwaan menerusi kenyataan media yang tular di media sosial kononnya parti itu mengambil keputusan untuk menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan.
Setiausaha Agung WARISAN, Datuk Loretto Padua berkata, kenyataan media berkenaan adalah palsu dan disifatkan sebagai cubaan pihak tertentu untuk memfitnah serta memburukkan imej parti.
Menurut beliau, pihak terbabit bukan sahaja menyebarkan fitnah, malah turut memalsukan dokumen rasmi WARISAN dengan menjadikannya seolah-olah kenyataan rasmi yang dikeluarkan parti.
“WARISAN menafikan kenyataan yang tular melalui media sosial dan menganggap ini merupakan satu lagi fitnah yang cuba mengaitkan serta memburukkan WARISAN.
“Pihak-pihak ini bukan sahaja berani menabur fitnah tetapi juga berani memalsukan dokumen WARISAN seolah-olah ia kenyataan rasmi daripada Setiausaha Agung,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, tular satu pautan kenyataan media yang mendakwa WARISAN mengambil keputusan untuk menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan selepas melalui pertimbangan serta perbincangan di semua peringkat kepimpinan dan akar umbi parti.
Kenyataan palsu itu turut mendakwa WARISAN tidak lagi dapat meneruskan penyertaan dalam Kerajaan Perpaduan susulan wujud perbezaan dalam beberapa perkara dasar, hala tuju pentadbiran serta pendekatan terhadap isu yang menyentuh kepentingan rakyat.
Dalam kenyataan terbabit juga berkata WARISAN didakwa akan menjadi blok pembangkang yang berkesan dan konstruktif bagi menjunjung semangat demokrasi di peringkat negeri dan negara. – UTUSAN
The post WARISAN nafi keluar kenyataan dakwa tarik diri daripada Kerajaan Perpaduan appeared first on Utusan Malaysia.
